BAN Politik - Najib Razak : Ganti Semula Tanah Rezab Melayu !

Datuk Seri Najib Razak menggesa semua menteri besar dan ketua menteri yang mengetuai kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) perlu menggantikan semula tanah rizab Melayu yang sudah digunakan untuk pembangunan.

Presiden Umno itu berkata, satu jawatankuasa mengenai perkara itu sudah ditubuhkan selain menggesa pindaan undang-undang dilakukan bagi menambahkan nilai tanah rizab Melayu.

“Tanah rizab Melayu mesti kita pertahankan. Saya minta semua menteri besar negeri yang dikuasai kita pastikan tanah rizab itu kalau dibuka untuk pembangunan diganti dengan lain.

“Tanah rizab jangan rizab saja, mesti dibangunkan. Saya diberitahu ada kesukaran perundangan seperti Kanun Tanah Negara dan enakmen negeri untuk memperoleh akses daripada instrumen Islam memajukan tanah rizab Melayu.
“Satu jawatankuasa sudah ditubuhkan dan laporan sudah disediakan. Saya minta semua undang-undang yang perlu dipinda, dibuat pindaan supaya tanah rizab Melayu boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemiliknya,” katanya.

Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pergulungan Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semasa ucapan penggulungan perhimpunan itu juga membangkitkan perkara yang sama.

Katanya, kerajaan perlu memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk mempertahankan tanah rizab Melayu bagi membolehkan tanah yang dibatal oleh pihak berkuasa negeri untuk tujuan pembangunan wajib digantikan.

"Daripada rekod (tanah rizab Melayu) semakin hari semakin terhakis. Ada negeri bukan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), apa akan jadi pada tanah rizab ini?” katanya ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2014 semalam.



Post a Comment

1 Comments