PDRM Tetap Naikkan Kadar Kompaun Trafik

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan cadangan menaikkan kadar kompaun maksimum sebagai satu usaha menurunkan statistik kemalangan jalan raya maut yang meningkat sepanjang tahun.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Muhd Fuad Abu Zarim berkata pihaknya kini sedang meneliti proses bagi tujuan itu termasuk pindaan dari sudut perundangan sebelum ia dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Tanpa menyebut jumlah kenaikan kadar kompaun berkenaan, beliau berkata sudah tentu ia akan melalui proses perundangan kerana sebelum ini kadar bayaran maksimum RM300 yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada Seksyen 120 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Jadi kalau kita mahu melakukan pindaan, ia perlu melalui proses di peringkat jemaah menteri, kemudian akan dibentangkan di Parlimen dan setelah diluluskan oleh Parlimen barulah boleh ia dikuatkuasakan.
"Untuk sementara waktu ini, kita masih mengguna pakai undang-undang sedia ada dan harap pindaan tersebut dapat dilaksanakan selewat-selewatnya hujung tahun ini (berdasarkan syor PDRM)," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Trafik Pasukan Cawangan Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus, Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hashim Abd Jalil dan Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Suhaimi Ali.

Muhd Fuad berkata kadar kompaun berkenaan dilihat wajar dinaikkan memandangkan ia tidak pernah dinaikkan sejak 28 tahun lalu dan mungkin kadar berkenaan terlalu ringan sehingga tidak lagi memberi kesan kepada pengguna jalan raya.
"Hasil pemerhatian PDRM, saban tahun pelbagai usaha dijalankan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya termasuk kempen keselamatan dan operasi khas sempena musim perayaan, namun seolah-olah ia tidak memberi kesan kepada pengguna jalan raya.
"Jadi kita berharap dengan kenaikan kadar kompaun ini sedikit sebanyak dapat memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar lebih mematuhi peraturan jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan maut yang semakin meningkat saban tahun," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan agar jumlah kompaun maksimum dinaikkan sebagai antara inisiatif mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Menurut Khalid, tindakan itu bagi mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dalam pemanduan kerana mereka masih dilihat penyumbang utama kepada kemalangan.

Dalam pada itu, Muhd Fuad berkata cawangan trafik PDRM akan diperbesarkan dan dimantapkan dengan penubuhan jabatan baharu yang dikenali sebagai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Mac ini.

"Jabatan baharu ini akan dilancarkan 25 Mac ini sempena sambutan Hari Polis, ia akan mempunyai pengarah sendiri. Dengan jabatan baharu ini ia akan memberi fokus kepada keperluan jabatan dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya meliputi pelbagai aspek.

"Kita harap dengan penubuhan jabatan baharu ini, ia turut memberi faedah kepada masyarakat terutama dari segi mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya di seluruh negara," katanya. (SinarHarian)

Post a Comment

4 Comments

  1. Bentang parlimen. komfem akan diluluskan.

    ReplyDelete
  2. Baik ko cakap kerajaan nak duit. Senang!

    ReplyDelete
  3. yes i agree, dah desperate, bagi la alasan macam-macam.
    RM 300 tu ingat sikit ke bagi orang susah, belanja sebulan tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yg duk atas mane terasa. Kalau diaorg kena saman, tau pulak suh kawan2 ejas. Nak cekik yg kat bawah ni la. Saper suh undi BN

      Delete