Syamsul - Orang Bukan Islam Menyukai Filem #Munafik


Bermula dengan mendengar kuliah agama perihal syurga dan neraka, Syamsul Yusof mengakui ada ketikanya dia tersentak.

Bagi anak pengarah dan penerbit filem Datuk Yusof Haslam itu berkata ada antara kandungan kuliah berkenaan - termasuk mengenai seksaan terhadap golongan munafik - dilihat serius dan boleh diangkat ke layar perak.

Kemudian lahirlah Munafik iaitu filem pertama Syamsul selepas dia 'berehat' selama kira-kira dua tahun daripada aktiviti mengarah.
“Apabila mendengar ceramah mengenai seksa ke atas orang munafik, saya tahu ia sesuatu yang berat dan perlu diangkat ke layar lebar,” katanya kepada Malaysiakini.
Syamsul, 32, mengakui sepanjang tempoh dua tahun menyepi dari industri perfileman dia banyak menghadiri kuliah agama.

Pengalaman menghasilkan filem genre seram bukanlah perkara baru untuk Syamsul.

Khurafat: Perjanjian Syaitan yang ditayangkan pada 2011 adalah filem seram sentuhan pertama Syamsul.

Menurut Syamsul, 32, jika dibandingkan antara Munafik dengan Khurafat: Perjanjian Syaitan, filem terbarunya itu mempunyai susur penceritaan lebih kemas dan terperinci.
“Sebelum ini saya hanya seorang pengarah muda yang lebih mementingkan visual, tetapi dari segi naratif ia tidak begitu diperhalusi.
“Namun melalui Munafik sesuatu karakter yang ditonjolkan digarap lebih mendalam kerana kali ini saya mahu perjalanan cerita memberi kesan kepada penonton hingga mereka seolah-olah terkunci di tempat duduk,” katanya.
Selain Syamsul, Munafik turut menampilkan pelakon seperti Nabila Huda (gambar, kanan), Sabrina Ali, Pekin Ibrahim dan Fizz Fairuz.

Menurut Syamsul, Munafik tidak dihasilkan secara sembarangan kerana isu yang diketengahkan adalah sensitif dan dikhuatiri boleh merosakkan akidah orang Islam.

Pada masa sama filem itu turut memaparkan banyak adegan membabitkan aspek keagamaan selain penggunaan ayat al-Quran dan hadis.
“Munafik bukan seperti kisah seram biasa, tetapi ia (mebawa mesej) berat dan bukan rekaan.
“Maka untuk menghasilkannya saya perlu merujuk al-Quran dan hadis," katanya.
Mungkin sebab itu juga Munafik ‘terperap' lama di Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum ia boleh ditayangkan.

Menurut Syamsul pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut diambil kira sebelum Munafik diberi kelulusan tayangan

Selepas menjalani proses tapisan, Syamsul lega kerana hanya kira-kira 25 peratus daripada dialog dalam Munafik dipotong atau diolah semula.
“Alhamdulillah, tiada babak besar dipotong dan jalan cerita tidak terjejas,” katanya.
Sementara itu berdasarkan data Perbadanan Kemajuan Filem Nasional kutipan penjualan tiket Munafik selepas lapan hari ditayangkan ialah sebanyak RM4.3 juta.

Ia juga mendapat respon yang baik daripada pihak operator pawagam yang kebanyakannya terdiri daripada individu bukan Melayu.

Kata Syamsul sewaktu proses penilaian untuk pemilihan tarikh wajib tayang, mereka dilihat menggemari Munafik.
“Walaupun kebanyakannya bukan Muslim, mereka suka filem ini hingga menyediakan lebih 100 panggung.
“Saya terperanjat sebab orang bukan Islam juga boleh menyukai filem sebegini,” katanya.

(Malaysiakini)

Post a Comment

1 Comments

  1. Munafik. ramai sgt skrng ni kt malaysia. Mmg kena pada masa syamsul kluarkan crita ni

    ReplyDelete