Sadis! Dera, Gigit Sampai Mati


Seorang gadis dipercayai didera sehingga mati, dengan kesan gigitan manusia memenuhi tubuhnya yang hanya seberat 18 kilogram.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang dipetik Sinar Harian berkata, bapa gadis malang berusia 22 tahun itu membuat laporan polis pada 26 April lalu, mendakwa kononnya mangsa meninggal dunia di rumahnya di Batu 5, Binjai akibat demam panas.
“Pada peringkat awal kita buka kes di bawah mati mengejut, tetapi selepas pemeriksaan dilakukan kita dapati wujud unsur-unsur jenayah. Susulan itu mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.
“Selepas dua bedah siasat dijalankan, kita dapati mayat tersebut mengalami jangkitan kuman dan ada kesan kebuluran. Sebahagian besar tubuh mangsa juga ada kesan gigitan manusia dan beberapa kecederaan lain termasuk lebam di bahagian mata,”  
Beliau berkata, polis telah menahan bapa kandung mangsa berusia 49 tahun yang bekerja sebagai mekanik, ibu tirinya berusia 35 tahun dan dua adik mangsa, iaitu adik perempuan berusia 21 tahun dan adik lelaki berumur 14 tahun yang kesemuanya tinggal bersama mangsa, kelmarin.

“Mangsa adalah anak kedua daripada empat beradik dan dia bersama dua adiknya berada di bawah jagaan bapanya, selepas ibu bapanya bercerai. Adik lelakinya yang berumur 14 tahun itu sudah tidak bersekolah.

“Polis akan minta khidmat doktor gigi untuk menjalankan ujian perubatan gigi terhadap suspek yang ditahan,” katanya sambil menambah empat suspek itu direman tujuh hari, bermula semalam bagi membantu siasatan.

Mohd Said menjelaskan, ibu kandung mangsa yang dipercayai seorang Cina Muslim menetap di Pulau Pinang turut membuat laporan polis bagi menyiasat kematian anaknya yang mencurigakan itu.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman pada jam 6 petang Sabtu lalu.(FMT)

Post a Comment

2 Comments