Apabila Azmin Mengejek Noh Omar

“Sudah terlambat untuk (Tan Sri) Noh Omar belajar nak tolong orang susah.”

Begitu reaksi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap usaha kerajaan pusat mengambil alih Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, turut mengejek Noh yang baru dianugerah darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agung.

“Noh Omar, dia baru dapat Tan Sri, baru jadi menteri. Dia baru nak belajar bagaimana nak tolong orang susah. Sudah terlambat,” sindirnya.

Noh, menteri kesejahteraan bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan awal bulan ini berkata kerajaan sedang berusaha mengambil alih PPR yang menghadapi masalah penyelenggaraan dan yang menjadi sarang dadah.

Exo perumahan Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad bagaimanapun berkata kerajaan negeri telah membelanjakan RM8 juta untuk membaiki rumah pangsa di KL dan pusat harus membayar balik jika mahu mengambil alih pengurusannya.

Noh bagaimanapun berkata jumlah itu terlalu kecil berbanding RM100 juta untuk membinanya dan RM20 juta lagi untuk membaiki PPR Lembah Subang 1 di Selangor pada 2009.

Undang-undang untuk mewujudkan perbadanan pengurusan perumahan awam dilapor telah diluluskan oleh kabinet dan rang udang-undang berkaitan akan dibentang selewat-lewatnya tahun depan.

Diminta mengulas isu itu, Azmin berkata kerajaan negeri telah memperkenalkan program Dana Selangor berjumlah RM20 juta bagi mempermudah pinjaman pihak yang tidak mendapat pinjaman bank.

“Ini bukan perkara baru untuk kerajaan negeri tapi terlalu baru untuk Noh Omar,” kata Azmin dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 di Sepang hari ini.

Malah, anggota parlimen Gombak itu berkata beliau terbuka untuk mengajar Noh Omar yang juga anggota wakil rakyat Tanjong Karang.

“Kalau Noh Omar mahu belajar kami gembira untuk mengajar dia,” kata Azmin.

(MK)

Post a Comment

0 Comments