Bung Disoal SPRM Sebagai Saksi Tidak Bersalah


Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin hari ini berkata, beliau hanya disoal siasat sebagai 'saksi tidak bersalah' oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia dipercayai mengenai siasatan SPRM berkaitan dengan beberapa unit pelaburan amanah yang dibuat oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) dengan Bung Moktar adalah pengerusinya.

Sumber memberitahu Malaysiakini yang siasatan itu dibuat bagi menentukan jika wujudnya salah guna kuasa dalam urusniaga berkenaan.

Ketika dihubungi, Bung Moktar mendedahkan SPRM telah memanggil semua ahli lembaga pengarah Felcra untuk membantu siasatan. Bung Moktar, yang disoal siasat selama tujuh jam oleh SPRM enggan mendedahkan asas siasatan terbabit.

"Saya tidak fikir saya perlu bercakap mengenai, biar mereka siasat, saya berada di sana sebagai saksi dan saya akan beritahu apa yang mereka mahu tahu. Itu sahaja," kata beliau kepada Malaysiakini.

Ujar beliau, tiada apa yang hendak dirisaukan jika dipanggil sekali lagi kerana is merupakan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini.

"Jika kamu (SPRM) mahu memanggil lagi (bagi soal siasat), saya boleh datang pada bila-bila masa," jelasnya, sambil menambah akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Namun, Bung Moktar yang terkenal kerana kelantangannya menyatakan rasa kesal dengan laporan media tertentu yang melapor perkara itu 'tanpa mengetahui apa yang sedang berlaku'.

Awal hari ini, para wartawan berkerumun di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya selama berjam-jam bagi menemu bual Bung Moktar mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Bung Moktar berjaya menyelinap keluar menerusi lapangan letak kereta di bawah bawah bangunan tersebut.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 9.40 pagi dan terus masuk ke bangunan.

Bung Moktar enggan bercakap dengan media sebaik tiba, tetapi dilihat memberi isyarat 'ok' sebelum memasuki bangunan itu.

Malaysiakini telah menghantar sms kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Dzulkifli Ahmad dan pengarah siasatan, Datuk Azam Baki untuk mendapatkan komen.

Post a Comment

0 Comments