Untung Suku ke 2 Petronas Mengalami Kejatuhan 85%


Keuntungan syarikat minyak negara Petronas bagi suku kedua tahun ini mencatatkan kejatuhan 85% berikutan harga minyak rendah.

Satu-satunya syarikat Malaysia yang tersenarai dalam Fortune 500 dan merupakan sumber kewangan utama kerajaan itu melaporkan untung bersih RM1.62 bilion dalam tempoh itu, daripada RM11.07 bilion tahun lalu.
Pendapatan syarikat ialah RM48.44 bilion, kurang 21% daripada tempoh sama pada 2015.

Petronas menjangkakan akan terus menerima kesan daripada harga minyak tidak seimbang sepanjang tahun ini.
“Walaupun harga minyak mentah pulih sedikit, lebihan bekalan dan keadaan lembap menyebabkan ketidaktentuan masih kekal,” kata Petronas dalam satu kenyataan.
Ekonomi Malaysia merupakan ketiga terbesar di Asia Tenggara, tetapi kini terpaksa berdepan dengan kejatuhan harga minyak dan permintaan dari luar, menyebabkan pendapatan berkurangan dan tekanan ke atas ringgit.

Malaysia juga digegarkan dengan skandal kewangan susulan dakwaan berbilion ringgit dilesapkan daripada sebuah dana pelaburan milik negara yang diasaskan perdana menteri.

Awal bulan ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4% bagi tempoh setahun April-June, iaitu kadar pertumbuhan paling perlahan sejak berada pada 1.1% ketika krisis ekonomi global pada 2009.

Bulan lalu, Malaysia buat pertama kali dalam 7 tahun mengumumkan pemotongan kadar faedah.
Harga minyak juga mengalami kejatuhan di pasaran saham berikutan lebihan bekalan, susut lebih 20% dan ditutup pada AS$40 setong buat pertama kali sejak April.

(FMT)

Post a Comment

0 Comments