• Politik Terkini

    Saturday, September 10, 2016

    5 Teknologi Yang Dibunuh Apple Dengan BERANI


    “Keberanian”. Ini ialah sebab mengapa bicu audio 3.5mm tidak lagi digunakan pada iPhone 7 dan 7 Plus. Sebaliknya teknologi yang telah digunakan sejak Mac yang pertama 32 tahun yang lalu digantikan dengan Lighthing. Pengakuan yang “berani” ini menjadi bahan ketawa internet semalam kerana dianggap sebagai antara kenyataan paling hiperbola pernah mereka keluarkan. Reaksi negatif yang diterima sebenarnya bukanlah perkara baru bagi Apple.

    Percaya atau tidak ini bukanlah kali pertama mereka menghentikan sokongan kepada perkakasan dan teknologi lama. Di dalam majoriti kes, apa yang mereka lakukan kemudian menjadi ikutan industri. Berikut ialah senarai pendek teknologi yang dimatikan oleh Apple dan teknologi yang mengambil alih tempatnya.

    01 – Apple Desktop Bus 

    Apple Desktop Bus ialah sistem sambungan aksesori seperti tetikus dan papan kekunci kepada komputer. Ia kali pertama digunakan pada Apple IIGS pada tahun 1986. Sistem sambungan ini direka sendiri oleh Steve Wozniak bagi memudahkan sambungan pelbagai peranti input kepada komputer buatan Apple. Apabila Steve Jobs dibuang dari Apple, komputer NeXT rekaan beliau turut menggunakan ADB. Teknologi ini dibunuh pada tahun 1998 apabila iMac diperkenalkan dan digantikan dengan penggunaan port USB-A. Kali terakhir ADB digunakan ialah pada Macintosh G3 1999.

    Teknologi ADB dihentikan penggunaannya kerana Steve Jobs mahu pengeluar aksesori komputer menghasilkan aksesori USB-A yang boleh digunakan pada Mac dan juga Windows. Keputusan Apple ini menerima reaksi negatif oleh pengguna Mac pada waktu tersebut. Namun seperti yang kita lihat sekarang USB-A digunakan dengan meluas. Aksesori komputer seperti tetikus yang boleh digunakan pada Mac dan Windows juga sudah dianggap normal.

    02 – Pemacu Cakera Liut

    Cakera liut bagi generasi Millennial hanya dikenali sebagai ikon untuk menyimpan kerja di dalam komputer. Bagi generasi dinosaur seperti saya ia adalah medium simpanan paling penting untuk menyimpan dokumen.  Apabila iMac generasi pertama (1998) diperkenalkan, ADB bukan satu-satunya teknologi yang dengan beraninya dihentikan penggunaannya oleh Apple.

    Pemacu cakera liut turut dikorbankan atas alasan untuk maju ke hadapan. Pemilik iMac perlu membeli pemacu cakera liut atau ZIP luaran USB sekiranya mahu terus menggunakannya. Seperti dijangka reaksi pengguna dan penulis teknologi adalah negatif. Pemacu cakera liut ialah teknologi yang pernah dianggap penting oleh Steve Jobs sehingga ia digunakan secara meluas pada Macintosh pertama.

    imac-1998Malahan ketika Macintosh masih di dalam fasa rekaan, Steve Jobs pernah bercadang untuk menggunakan pemacu cakera liut  sahaja dan tidak menyertakan cakera keras. Keputusan beliau dibangkang keras Joanna Hoffman, salah seorang ahli pasukan pengaturcara Macintosh. Pada pendapat Joanna penggunaan cakera liut semata-mata akan menyukarkan proses menyimpan fail dengan saiz lebih besar. Jobs akhirnya akur dan sehingga kini kesemua komputer Mac masih mempunyai sistem storan dalaman.

    Pemacu cakera liut digantikan dengan pemacu cakera optik di bawah skrin kesemua iMac. Model-model iMac seterusnya akan disertakan dengan CD Burner untuk membenarkan pemilik iMac menghasilkan cakera lagu dan DVD filem mereka tersendiri. Seperti penggunaan USB, komputer Windows juga turut akhirnya menghentikan penggunaan cakera liut beberapa tahun selepas Apple.

    03 – Pemacu Cakera Optik

    Seperti yang kami tulis di atas, pemacu cakera optik menggantikan pemacu cakera liut pada iMac. Tetapi pada tahun 2012 iMac mula dijual tanpa pemacu cakera optik SuperDrive. Alasan yang diberikan oleh Paul Schiller (individu yang sama yang mengumumkan penghentian penggunaan bicu audio) pada waktu tersebut ialah untuk menipiskan rekaan AIO popular ini. Batu nisan cakera optik sudah mula diukir sejak 2008 apabila MacBook Air diperlihatkan. Rekaan adi-nipis MacBook Air hanya boleh dilakukan dengan tidak menyertakan pemacu cakera optik.

    Selepas MacBook Air dan iMac, Mac Mini dan MacBook Pro turut mengikuti jejak yang sama. Apple melihat cakera optik tidak lagi relevan. Penjualan muzik secara digital melalui iTunes semakin meningkat manakala penjualan cakera padat semakin merudum. Pembelian perisian secara fizikal oleh pemilik Mac juga semakin menurun dan digantikan dengan pembelian menerus Mac App Store.

    Apple melihat pengguna peranti mereka terdiri daripada golongan yang terbuka kepada teknologi terkini. Sungguhpun pemacu optik tidak lagi disertakan, kami tidak pernah lagi menemui pengguna Mac mengeluh mengenai ketiadaannya. Pada platform Windows juga penggunaan pemacu optik semakin berkurangan. Kami secara peribadi sudah bertahun tidak mendengar CD muzik dan membeli perisian fizikal.  Sekali lagi pertaruhan Apple ke atas teknologi yang akan pupus membuahkan hasil.

    04 – Adobe Flash

    Pada tahun 2010 Steve Jobs mengumumkan peranti iOS tidak akan lagi menyokong kandungan Adobe Flash. Menerusi surat terbuka “Thoughts on Flash”, beliau menegaskan pemalam laman web ini mempercepatkan penggunaan bateri, mendedahkan pengguna kepada penggodam dan tidak menyokong antaramuka sesentuh dengan baik. Reaksi orang ramai dan Adobe sekali lagi amat negatif. Wakil Adone dipetik mengatakan tindakan Apple adalah anti persaingan dan menjadikan iOS sebuah sistem operasi yang tidak terbuka.

    Jika anda masih ingat sokongan kandungan Flash ialah antara “peluru” yang digunakan pengguna Android untuk mentertawakan pengguna iOS. Ketika itu hampir 70% laman web di dunia menggunakan pemalam Flash kerana ia membolehkan animasi kompleks dipaparkan dengan menggunakan saiz yang kecil. YouTube, laman penstriman video nombor satu dunia ialah pengguna terbesar Adobe Flash Player. Tetapi seperti sebelumnya, Steve Jobs sekali lagi dibuktikan betul. Flash kini hampir pupus kerana adaptasi HTML5 oleh majoriti laman sesawang dunia. Malang sekali beliau pergi dahulu pada tahun 2011 untuk melihat pendapat beliau sekali lagi terbukti benar.

    05 – USB-A

    Macbook 2015 menjadi komputer riba pertama Apple yang tidak mempunyai sambungan Thunderbolt ataupun USB-A. Hanya sebuah port USB-C dan bicu audio boleh ditemui pada Macbook premium ini. Penggunaan USB-C sekali lagi disebabkan oleh keperluan untuk menipiskan peranti serta mengadaptasi teknologi terkini yang memberikan kadar pemindahan data yang jauh lebih pantas.

    Tiada hadiah akan kami berikan kepada pembaca yang dapat mengagak reaksi orang ramai mengenai penggunaan hanya USB-C ini. Penjualan dok tambahan untuk USB-A keluaran Apple yang mahal menyiram petrol ke atas api kemarahan pengguna. Sejak kebelakangan ini penggunaan USB-C semakin meluas pada komputer riba Windows, peranti Android dan komputer deskstop.

    Masih terlalu awal untuk melihat sama ada seperti keputusan Apple kali ini akan menjadi ikutan pengeluar lain. Komputer riba Windows yang kami lihat kebelakangan ini sudah mula menyertakan USB-C tetapi mengekalkan beberapa USB-A 3.0. Hanya HP Spectre 13 berani mengikuti jejak MacBook dengan menyertakan 3 port USB-C tanpa port USB-A. Di dalam kes ini tiada pihak yang boleh mengumumkan kemenangan.


    Kesimpulan

    Mendiang Steve Jobs berpegang teguh kepada kata-kata tokoh hoki ais Wayne Gretzky iaitu  “Skate to where the puck is going to be, not where it has been”. Apple melihat diri mereka sebagai syarikat pelopor teknologi nombor satu dunia. Mereka memperkenalkan GUI kepada komputer peribadi. Merevolusikan penjualan muzik secara atas talian melalui iTunes. Menyempurnakan pemain MP3 dengan iPod dan mengubah landskap peranti pintar dengan iPhone.

    “A lot of times, people don’t know what they want until you show it to them” ialah antara mutiara kata yang popular pernah disebutkan Steve Jobs. Ia menjadi mantra kepada Apple selepas kematian beliau. Adakah fon telinga Lightning  akan diterima pengguna?

    Untuk terus menjadi pelopor mereka perlu berani melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh orang lain. Oleh sebab itulah Paul Shiller mengatakan tindakan membuang bicu audio memerlukan “keberanian”. Anda mungkin tidak bersetuju dengan pembuangan bicu audio sekarang. Tetapi dengan melihat sejarah kejayaan mreka sebelum ini, kami tidak akan terkejut sekiranya sekali lagi Apple akan dibuktikan betul.

    Amanz

    No comments:

    Post a Comment