Ganas! Cubaan Serangan Roket Militan Di Marina Bay, Singapura


Sekumpulan suspek yang ditangkap Ogos lalu kerana cubaan menyerang Marina Bay di Singapura, dikatakan merancang melancarkan roket dari sebuah bukit di Pulau Batam, menurut ketua polis anti pengganas Indonesia, Suhardi Alius.

The Straits Times memetik Suhardi sebagai berkata tapak serangan yang terletak di sebuah kawasan yang dikenali “Tangga 1000” di Taman Wisata Habibie cuma 17km dari persisiran Singapura, dan 18km dari Marina Bay yang menjadi antara mercu tanda republik itu.

Suhardi yang mengetuai Badan Nasional Penanggulangan Terorisme (BNPT) berkata kumpulan militan dari Batam itu turut membuat perkiraan bagi mengukur jarak dari bukit tersebut dengan sasaran mereka di Singapura.

Sebelum ini, siasatan mendapati mereka diarahkan seorang militan Indonesia di Timur Tengah, Bahrun Naim, melancarkan peluru roket ke Marina Bay, pusat bandar raya di tepi pantai yang turut menjadi tuan rumah Formula One Grand Prix dan menempatkan sebuah kasino dan bangunan pejabat.
“Adalah benar mereka bukan sahaja melakukan kajian dan mengukur sudut ketinggian dari bukit Habibie ke Marina Bay, tetapi Bahrun Naim juga merancang menghantar juruteknik pakar bagi menyediakan bahan letupan untuk serangan itu,” kata Suhardi kepada wartawan di Jakarta.
Pada 5 Ogos, 6 suspek berumur 19 hingga 46 tahun diberkas kerana cubaan melancarkan serangan roket ke Singapura dari Pulau Batam.

Bahrun dipercayai ada kaitan dengan seorang remaja 17 tahun yang cuba meletupkan dirinya di luar sebuah gereja Katolik di Medan pada 28 Ogos, dan Nur Rahman, seorang lagi yang cuba melancarkan serangan ke atas balai polis di Solo di Jawa Tengah, Julai lalu.

Bahrun juga dikatakan menjadi antara perancang serangan bom dan tembakan di plaza beli-belah Jakarta pada 14 Januari yang membunuh 8 orang, termasuk 4 penyerang dan mencederakan lebih 20 yang lain.
Ketua Polis Indonesia Badrodin Haiti menamakan Bahrun salah seorang pemimpin utama di wilayah itu dalam jaringan dengan pro IS.

Post a Comment

0 Comments