Kisah Sadis - Anugerah UNESCO Rosmah Ditarik, Mahathir Sewa Jet Mengadap Agong


Saya tidak pasti sama ada Mohamed Nazri Abdul Aziz bersungguh-sungguh atau berjenaka apabila dia berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diberikan apa saja yang diperlukannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Kalau sebaliknya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu mempersendakan Dr Mahathir sebagai percubaan menyeronokkan bosnya, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, saya rasa dia silap besar.

Dr Mahathir pastinya tidak berjenaka apabila beliau berkata beliau sedang berusaha menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau terpaksa berusaha menjatuhkan BN kerana parti gabungan itu enggan menyingkirkan Mohd Najib. Pada asalnya beliau tidak berhasrat menumbangkan BN. Beliau hanya mahu Mohd Najib berundur. Tetapi apabila BN, khususnya Umno, terus taat kepada Mohd Najib sebagai ketua parti dan Perdana Menteri, beliau mengubah matlamat kepada mengalahkan BN pada PRU akan datang.

Bagi Mohamed Nazri, kecualilah dia bebal kelas dedak, dia tentu tahu Dr Mahathir jarang berjenaka dalam hal-hal yang serius seperti kesejahteraan negara.

Berkenaan menghiburkan Mohd Najib pula, saya rasa amat sukar menyeronokkan beliau sekarang. Bayangkan, macam mana nak gembira kalau hendak ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pun tak selesa - takut ditanya bukan-bukan oleh kor media PBB atau kena ejek penunjuk perasaan di seberang jalan di hadapan bangunan PBB. Lagi menggerunkan adalah kemungkinan dikunjungi agensi penyiasatan jenayah Amerika yang ingin berbual-bual dengan “Malaysian Official 1”.
Tak cukup dengan itu, anugerah UNESCO kepada isterinya, (Datin Paduka Seri Puan Puti Reno I Minasa Daeng Sunggu Karaeng Bonto Matene) Rosmah Mansor, berkaitan projek Permata Negara biayaan kerajaan dibatalkan pula oleh penganjur bersamanya "kerana laporan Wall Street Journal (WSJ) dan New York Times (NYT)". Satu dunia sudah tahu pendedahan sensasi dua akhbar itu mengenai skandal berbilion ringgit membabitkan duit 1MDB.
Ramai orang tahu betapa besarnya pengorbanan Mohd Najib demi isterinya. Kita pun tahu juga pasangan Mohd Najib-Rosmah amat menggemari pertemuan global berprofil tinggi serta peluang beristirahat serta membeli-belah di butik-butik berjenama tinggi.

Tapi tahun ini mereka sudah ketinggalan dua persidangan besar dalam diari antarabangsa, iaitu UNGA di New York dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland Januari lalu.

Secara kebetulan kedua-dua buah negara yang menjadi tuan rumah persidangan yang disebutkan itu – Amerika Syarikat dan Swirzerland - adalah juga antara negara yang sedang menyiasat dan bertindak ke atas skandal 1MDB. Seperti diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Komunikasi Strategik BN, (Datuk), Abdul Rahman Dahlan, Mohd Najib adalah “Malaysian Official 1” (MO1) 1MDB.

Dr Mahathir Tak Lawak

Berkenaan Dr Mahathir, saya berasa saya boleh bercakap mengenai betapa sayang dan komitednya beliau kepada Umno.

Saya sangat yakin beliau pasti tidak meninggalkan Umno apatah lagi menentangnya kalau Mohd Najib mengundurkan diri atau disingkir.

Malangnya, seperti kita semua lihat, setiap hari yang berlalu Mohd Najib menjadi lebih kuat kerana dia serta konco-konconya bersedia menggunakan apa saja instrumen dan institusi negara untuk bergayut kepada kuasa.
Harapan kita hanyalah PRU. Itu pun kalau tidak disabotaj, dikhianati dan diselewengkan oleh instrumen dan institusi negara, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan para penghasut pro-Umno/BN.
Sejak tahun 1946, ketika masih belasan tahun, Dr Mahathir komited dan sayangkan Umno. Tetapi hari ini komitmen beliau adalah mengalahkan Umno. Seperti sering beliau ungkapkan, latihan perubatan mengajar beliau tidak terlalu emosi dan lebih praktikal. Kalau beliau perlu memotong kaki pesakit demi menyelamatkan nyawanya, itulah yang akan beliau lakukan.

Jadi kalau orang seperti Mohamed Nazri berasa bahawa dengan mempersendakan Dr Mahathir, mereka boleh melemahkan semangat beliau, mereka silap besar.

Meminjam ungkapan yang dipakai oleh (Datuk Seri) Adnan Mansor baru-baru ini, saya yakin ramai orang, termasuk pemandu TEKSI, tahu punca dendam kesumat Mohamed Nazri terhadap Dr Mahathir dan mengapa dia teramat sayang kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib.

Mohd Nazri dan Mohd Najib sepatutnya sedar bahawa setiap cabaran dan sindiran yang mereka tujukan kepada Dr Mahathir mengukuhkan lagi iltizam beliau untuk berjuang. Perjuangan adalah sinonim dengan Dr Mahathir.

Macai, balaci dan kamjat mereka mungkin tidak tahu kerana usia mereka baru setahun jagung dan kail mereka panjang sejengkal.

Maaflah kalau saya kata, saya boleh bercakap sedikit sebanyak mengenai Dr Mahathir kerana saya mengenali beliau agak lama – 52 tahun.

Dalam tempoh itu, ada ketika kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Kita berbeza pendapat dan, dari sudut pandangan sesetengah orang, kita bergaduh. Suatu ketika, (Tan Sri) Sanusi Junid waktu menjadi Menteri Besar Kedah, beranggapan Dr Mahathir dan saya “bergaduh besar” sehingga dia membawa Dr Mahathir ke rumah ayah saya di Pendang, Kedah dan memberikan seekor lembu untuk dikorbankan. Bersetuju atau tidak, kita tetap berkawan. Itulah ikrar saya kepada beliau apabila saya meletakkan jawatan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP pada tahun 2000.

Kami berpisah jalan, tetapi kami tetap bersama dalam perjuangan.

Beberapa hari sebelum melancarkan kempen "Selamatkan Malaysia"/Deklarasi Rakyat” pada 4 Mac lalu, beliau memanggil saya ke rumahnya di Seri Kembangan bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, untuk berbincang mengenai “legality” perisytiharan  itu.

Selesai berbincang, Dr Mahathir membisikkan kepada saya bahawa beliau terpaksa meninggalkan Umno sebelum melancarkan deklarasi itu. Saya memberitahu beliau yang saya tidak terperanjat kerana saya sendiri telah meninggalkan Umno lebih setahun. Saya keluar Umno secara rasmi pada 29 Jun 2015.

Beliau nampak terkejut tetapi mungkin berasa lega kerana orang lain yang beliau kenal lama pun telah meninggalkan Umno secara rasmi.

Saya mengenali Dr Mahathir pada 1964 apabila beliau datang ke kampung saya untuk bertanding kali pertama mewakili Perikatan dalam pilihan raya umum tahun itu. Waktu itu saya berusia 16 tahun dan rumah saya adalah antara tempat persinggahan beliau kerana ayah saya cergas dalam Umno.

Bahaya Cabar Dr Mahathir

Kesilapan besar sesiapa pun yang berdepan dengan Dr Mahathir adalah mencabar kegigihan beliau dan mempersendakan rancangannya.

Buat masa ini, rancangan nombor satu beliau adalah menjatuhkan BN dalam PRU akan datang melalui kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang.

Kalau beliau bukan seorang yang gigih, beliau sudah lama menyerah kalah, khususnya setelah bersara daripada jawatan Perdana Menteri pada 2003.

Pelbagai halangan, tembok dan ranjau didirikan untuk menghalang beliau daripada terus memainkan peranan sebagai mentor demi negara yang beliau cintai.
Ahad lalu beliau menceritakan bagaimana beliau terpaksa menyewa pesawat eksekutif untuk terbang ke Alor Setar bagi menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana kesuntukan masa.
Beberapa jam sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Kedah, beliau merasmikan mesyuarat agung Perkim di Kuala Lumpur. Kata beliau :

  • Kawan-kawan yang ketika beliau menjadi Perdana Menteri dulu berlumba-lumba meminjamkan pesawat peribadi mereka, telah menghilangkan diri. Mereka takut dilihat bersama beliau. 
  • Pada sebelah malamnya, Dr Mahathir bertolak ke London. Oleh kerana tidak ada pesawat peribadi untuk digunakan, beliau terbang dengan pesawat perdagangan.

Menurut kakitangan beliau, mereka mencadangkan beberapa syarikat penerbangan, tetapi Dr Mahathir bertegas mahu terbang dengan MAS.

Cintanya kepada negara mengatasi keselesaan diri. Bukanlah mudah bagi seorang yang berusia 92 tahun berkongsi pesawat raksasa (Airbus A380) dengan 500 penumpang lain untuk penerbangan 13 jam.

Jadi kalau ada orang, tidak kira bangsa atau kedudukan – menteri, raja, temenggung, bendahara, syahbandar, blogger pelarian atau pemakan dedak - yang berasa mempersendakan beliau sebagai orang tua nyanyuk boleh mematahkan semangat beliau mereka silap besar.

Cacian dan jenaka murahan mereka mungkin membuatkan sesetengah orang ketawa berdekah-dekah, tetapi bagi Dr Mahathir ia umpama kuman yang menguatkan lagi daya tahan badannya. Azam dan iltizam beliau menjadi bertambah kukuh.

Itulah Dr Mahathir yang saya kenali dan dampingi sejak 52 tahun lalu. Beliau bukan insan yang gilakan sanjungan dan patah hati semata-mata kerana makian dan cacian. Hidup matinya berakar-umbikan perjuangan.

Wallahuaklam.
A.KadirJasin

Post a Comment

1 Comments

  1. mahathir... allah perlihatkan karma untuknya.

    ReplyDelete