APM Pertahan Isu Ular, Pelajar Seronok & Tiada Trauma


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata pelajar yang diarah memasuki kolam berisi ular baru-baru ini tidak mengalami trauma, malah seronok mengikuti kursus bina semangat berkenaan.

Menceritakan hasil pertemuan dengan pelajar terbabit Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Datuk Selamat Dahalan berkata ada antara peserta itu mahu menyertai lagi program yang seperti itu di masa akan datang.

"APM mengadakan perjumpaan dengan pelajar dan guru bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka.

"Kami dapati pelajar terbabit seronok, tiada trauma malah ada yang masih mahu menyertai lagi program berkenaan," katanya kepada media di Ibu Pejabat APM di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur hari ini.

Selamat mengulas penyebaran klip video memaparkan sejumlah pelajar Sekolah Kebangsaan Beluru diarah memasuki kolam yang kemudian dicampak ular sebagai sebahagian daripada kursus bina semangat.

Rakaman itu mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan.

Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar pula dilaporkan sudah membuat laporan mengenai perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu Selamat berkata APM menjalankan siasatan terhadap modul latihan tersebut untuk mengesan jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
"APM amat menyesali apa yang berlaku dan memandang serius perkara ini walaupun aspek keselamatan peserta dititikberatkan ketika itu. Pada saat ini, modul berkenaan sedang disiasat bagi mengenalpasti jika wujud pelanggaran SOP selain mengambil tindakan perlu bagi mengelak ia berulang," katanya.
Selamat berkata sejak 2012 hingga 2016 sebanyak 23 sekolah dengan 1622 orang peserta telah menjalani kursus menggunakan modul latihan berkenaan.

Katanya program itu bertujuan mengukur tahap kerjasama berkumpulan, pematuhan arahan dan keberkesanan komunikasi di kalangan peserta.

Sebagai menunjukkan kekesalan mendalam Selamat berkata APM akan mengadakan pertemuan dengan keluarga pelajar terbabit dalam insiden itu.

Sehubungan itu, kata Selamat pihak APM memohon agar semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian dan menghentikan penyebaran video berkenaan di internet.

MK

Post a Comment

0 Comments