PAS Kekal Berharap #RUU355 Dapat Dibentang Walaupun ....


Pas menafikan giliran usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 yang akan dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditolak ke bawah.

Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen Pas, Syed Ahmad Fadhli berkata, Buku Peraturan Mesyuarat Dewan perlu dirujuk bagi memahami proses perjalanan mesyuarat sidang Dewan Rakyat.
“Menerusi buku tersebut ada dinyatakan dalam perkara 15(1) pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.
“Hari ini (semalam), RUU kerajaan yang dibaca semalam (kelmarin) telah disenarai sebagai bacaan kali kedua dan disebabkan itu, giliran usul Ahli Parlimen Marang dianjak dari nombor empat ke tujuh,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, persoalan bilakah usul RUU 355 akan dibahaskan bergantung kepada pihak kerajaan yang memiliki kuasa melalui eksekutif untuk menentukan tarikh yang sesuai menerusi Peraturan Mesyuarat 14(2).
“Jumaat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2017 yang mana bermula Isnin depan sehingga 22 November, adalah tempoh perbahasan bajet bagi peringkat dasar dan jawatankuasa.
“Kemungkinan RUU 355 ini boleh dibentangkan sama ada hari yang berbaki sebelum pembentangan Bajet 2017 atau pada penghujung sidang nanti,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang berusaha gigih untuk menghalang pembentangan RUU 355 oleh Abdul Hadi.

“Apa yang sedang diusahakan oleh beliau (Abdul Hadi) adalah selari dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia dan tidak juga bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan beliau membawa usul tersebut ke institusi Parlimen untuk dibahaskan dan dibuat pengundian.

Mengapa perlu takut dan gelabah sangat?
“Pada 1984, Akta 355 ini pernah dipinda bagi menambah bidang kuasanya.
"Setelah 32 tahun, beliau memanfaatkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Marang mencadangkan Akta 355 ini diperluaskan bidang kuasanya agar Mahkamah Syariah yang sudah sedia ada dapat dimartabatkan kedudukannya selari dengan Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana Bahagian Persekutuan,” katanya.
SH

Post a Comment

0 Comments