PAS T'ganu EGO! Enggan Serah Kerusi Dimenangi BN Kpd Bersatu


Cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya PAS beri laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bertanding di kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu tidak diterima baik pimpinan bawahan PAS.

Bagi mereka, masuk pilihan raya adalah sesuatu yang serius, dan tidak boleh diambil mudah kerana ia memerlukan jentera dan petugas.

Malah, seorang bekas calon PAS di Terengganu mempersoalkan Muhyiddin kerana membuat cadangan demikian walaupun PPBM pimpinannya masih baharu.
“Jangan ingat parti lain yang tak ada cawangan, tak ada ahli, tak ada jentera serta tak pernah nampak muka pun berkhidmat kepada rakyat, boleh mudah-mudah buat teori, (dengan berkata) ‘PAS tak menang bagilah parti lain pula cuba’,” kata Dr Azman Ibrahim, memetik ucapan Muhyiddin di Kemaman Sabtu lalu.
Dr Azman yang pernah bertanding di kerusi negeri Jabi, berkata PAS sudah luas pengalamannya dalam berdepan dengan Umno dan BN.
“Ada cawangan, ada markas, ada jentera dan ada program yang berterusan sepanjang masa. Tapi tak menang lagi di sesetengah kawasan termasuklah (di kawasan) saya)!” doktor pergigian itu menulis dalam Facebook baru-baru ini.
Berucap julung kali di atas pentas PAS, Muhyiddin dalam ucapannya di Kemaman berkata PPBM sedia bekerjasama dan berunding dengan parti Islam itu termasuk pembahagian kerusi pilihan raya.
“Bukan kita nak ambil kerusi yang sudah dimenangi PAS tetapi kerusi yang Umno menang itu, bagilah kepada kami untuk kami kalahkan Umno. Kita akan pastikan Umno tewas dan kini menang dan membentuk kerajaan bersama,” kata Muhyiddin.
Muhyiddin baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam usaha meyakinkan parti itu mengadakan perjanjian dengan parti pembangkang lain bagi memastikan pertandingan satu-lawan-satu menentang BN pada PRU akan datang.

Amanah Terengganu bersedia

Berbeza dengan PAS, Amanah Terengganu sedia berunding dengan PPBM di negeri yang menjadi kubu kepimpinan PAS itu.
“Kami sedia berunding dengan PPBM dan PAS dalam mencari formula satu lawan satu dengan BN tetapi ia satu jalan yang sukar,” kata Mohd Zubir Mohamad, Pengerusi Biro Pilihan Raya Amanah Terengganu kepada FMT.
Menurut beliau, sikap PAS yang sedia bekerjasama dengan PPBM dan PKR tetapi tidak dengan Amanah dan DAP satu perkara yang sukar untuk dicerakinkan.

Pemerhati berpendapat kerajaan BN Terengganu boleh dijatuhkan sekiranya PAS bersedia bekerjasama dengan pihak lain kerana beza antara kerusi BN dan pembangkang di Terengganu hanya 2, iaitu 17 BN dan 15 pembangkang.

PAS kini mempunyai 14 kerusi DUN di Terengganu manakala PKR mempunyai satu dan selebihnya (17) adalah milik Umno.

PAS juga mempunyai 3 daripada 8 ahli Parlimen di Terengganu iaitu Marang, Dungun dan Kuala Nerus.

Bekas menteri besar Terengganu, yang juga Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, yang pernah membuat usul tidak percaya kepada MB Terengganu, dikatakan pernah membuat tawaran itu kepada PAS namun ditolak oleh pucuk pimpinannya.

PAS memberikan alasan lebih bersedia untuk menyertai pilihan raya negeri daripada bekerjasama dengan pihak lain membentuk kerajaan baru di Terengganu.

FMT

Post a Comment

0 Comments