Tuan Ibrahim - Pas Bukan Parti Anak Tangga Pihak Lain


Semua pihak perlu ketepikan sentimen melulu. Apakah bentuk generasi yang kita impikan bagi negara ini?

Gunakan akal yang dikurniakan oleh Allah bagi mengkaji dan mendalami Islam secara ikhlas dan jujur, insya-Allah kita akan memperolehi hakikat kebenaran dan dasar yang adil untuk semua pihak.

Kebencian yang ditanam oleh musuh Islam sejak turun temurun telah gagal mengemukakan suatu dasar dan sistem yang terbaik bagi manusia.
Kegagalan sistem ekonomi kapitalis dan liberal sosialis mengakibatkan lahir manusia yang rakus dan tamak menggunakan peluang dan kekayaan yang dimiliki bagi membolot kekayaan negara dan membiaknya amalan rasuah, salahguna kuasa, penipuan dan pelbagai penyelewengan yang kini sebati di dalam sistem kehidupan manusia.
Sistem ini telah mewujudkan golongan tidak berkemampuan yang jauh ketinggalan di belakang sehingga wujudnya jurang yang terlalu besar antara golongan kaya dan miskin.

Bukan itu sahaja, wujud satu pihak lain yang memperjuangkan hak dan persamaan taraf dengan melampau sehingga mencabut nilai asas manusia.

Perjuangan ini telah merosakkan nilai kemasyarakatan dan peradaban manusia, sehingga lahir golongan tanpa segan silu menuntut perkahwinan sejenis.

Manusia tidak boleh dibiarkan bertindak dengan bebas sehingga menganggap dirinya sebagai Tuhan yang boleh melakukan apa sahaja sehingga tiada pertimbangan hukum halal haram, dosa dan pahala; apatah lagi untuk memikirkan kehidupan selepas kematian yang menjadi teras dan roh bagi agama.

Sebab itu, presiden PAS menggesa agar semua pihak kembali kepada prinsip Islam kerana sifatnya yang lengkap dan sempurna. Kerana sistem Islam datangnya daripada Allah pencipta manusia dan alam seluruhnya.

Tidak mungkin ada suatu sistem dan peraturan yang lebih hebat dari ciptaan Allah. Yang mencipta sistem yang tempang dan menganggapnya agong dan sempurna ialah manusia.
PAS diminta menyokong pelbagai gerakan dan program pihak lain, namun apabila tiba soal perjuangan Islam yang dipelopori PAS, ada di kalangan mereka bukan sekadar bersetuju untuk tidak setuju, malah menjadi penentang dan menggerakkan penentangan kepada apa yang PAS perjuangkan.
Tiada parti yang mungkin akan bersama dengan pihak yang hanya ingin mengambil kesempatan dengan apa yang dimiliki oleh parti tersebut.

PAS tidak berkecuali dalam hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh presiden PAS bahawa PAS tidak akan bersedia menjadi anak tangga bagi pihak lain.

Sejarah lampau banyak mengajar kita betapa gerakan Islam yang menjadi penggerak kepada perjuangan menuntut kemerdekaan dan keadilan, serta menjadi mangsa kepada kezaliman pimpinan namun hasilnya dinikmati oleh pihak lain.

Cukuplah gerakan Islam menjadi alat bagi mencapai hasrat golongan sekular untuk mencapai hasrat mereka dan apabila mereka berjaya, Islam akan terus ditekan dan terus menjadi mangsa.

Seperti bisnes, di dalam politik juga ada pertimbangan untung rugi terhadap apa yang dianggap bernilai bagi parti masing-masing.

Bagi PAS, Islam berada di kedudukan tertinggi. Oleh itu, PAS sudah tentu menyokong apa yang menguntungkan dan selaras dengan perjuangan Islam yang menjadi dasar PAS.
Ada masanya, PAS hanya memberikan sokongan moral kepada agenda bersama yang dipersetujui PAS, akan tetapi tidak menyertai program untuk mengelak pihak lain mengambil kesempatan terhadap apa yang ada pada parti demi matlamat lain yang tidak selaras dengan matlamat PAS.

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS

Post a Comment

0 Comments