Ezam Buat Laporan Polis Siasat Najib Razak "Salah Guna Kuasa"


Hisbah Centre For Reform membuat satu laporan polis berhubung penyalahgunaan kuasa dalam penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang dijadikan alasan untuk menyiasat tiga ahli Parlimen baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Mohamed Ezam Mohd Nor berkata, dalam laporan tersebut, pihaknya meminta polis untuk menyiasat sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk menjadikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai individu yang menjaga kepentingan beliau.
“Saya juga ingatkan polis bahawa Akta OSA digubal untuk melindungi rahsia-rahsia kerajaan dan dokumen sulit yang jika dibocorkan dapat menggugat keselamatan serta kesejahteraan negara.
“Akta ini tidak boleh disalah guna untuk melindungi perbuatan rasuah dan penyelewengan dana kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini, Khalid memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil keterangan tiga bekas anggota kabinet dalam masa terdekat yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan baru-baru ini.

Ia adalah berikutan daripada pertanyaan ditimbulkan tiga bekas menteri yang juga merupakan ahli Parlimen berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat sebelum ini.

Dalam pada itu, Ezam memaklumkan bahawa ucapan dan persoalan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga bekas menteri tersebut merupakan hal melibatkan khazanah negara yang telah disalahguna dan diselewengkan oleh pihak tertentu.
“Kebimbangan mereka juga adalah kepada impak masa depan ekonomi negara.
“Justeru apa yang dibangkitkan mereka langsung tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan negara memandangkan ia hanya menggugat kedudukan mereka yang terlibat dalam syarikat 1MDB termasuk Perdana Menteri,”katanya.
Selain itu, Ezam berkata setiap kali isu 1MDB timbul, terdapat pencerobohan kuasa eksekutif yang berperanan untuk menutup kes tersebut daripada pengetahuan umum.

Dakwa Ezam, Najib juga pernah menggunakan kuasa yang ada pada beliau untuk mengganggu perjalanan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung penyelewengan 1MDB.
“Jawatankuasa PAC pernah dibubar di saat siasatan berjalan malah pelaku-pelaku utama juga bebas dan bolos dari sebarang tangkapan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Oleh sebab itu, Ezam berkata, Hisbah Centre berpandangan bahawa laporan polis perlu dibuat bagi membolehkan siasatan dimulakan terhadap pihak-pihak berkaitan dengan isu 1MDB tersebut.

SH

Post a Comment

1 Comments