Hafiz Hamidun - Neelofa Wanita Bijak!


Penyanyi irama ketuhanan, Hafiz Hamidun mengaku selesa berkawan dengan pelakon dan usahawan terkenal, Neelofa yang disifatkan wanita bijak dan jelita.

Menjalin hubungan profesional sejak lama dulu, Hafiz kagum dengan kredibiliti Neelofa sebagai selebriti dan ahli perniagaan disegani dengan empayar hijabnya.
"Neelofa adalah sahabat yang baik. Dia sangat terbuka dan sesiapapun selesa mendekatinya.
"Bayangkan, kalau ada topik tertentu yang dibicarakan, Neelofa boleh mengembangkannya kepada banyak perkara. 
Daripada sudut lain, dia sangat berazam tinggi dan tahu apa dimahukan.
"Bagi saya, insan bernama Neelofa itu hebat orangnya. Kalau bercakap soal jodoh, dia berhak menerima calon seangkatannya,"
Hafiz berkata demikian ketika diminta berkongsi pengalaman mengerjakan ibadat Haji bersama Neelofa, baru-baru ini. Tanpa sebarang perancangan, Hafiz dan pelakon drama bersiri terhangat, Suri Di Hati Mr Pilot itu sama-sama menunaikan rukun Islam kelima dan bertemu di Makkah.

Hafiz memberitahu, syarikatnya pernah mengendalikan akaun laman sosial Naelofar Hijab untuk tujuan pemasaran produk melalui laman Facebook dan Instagram.
"Neelofa memang suka dan mahu sentiasa mahu ke hadapan dalam aspek laman sosial. Saya membantu dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang ada. 
"Siapa tahu, mungkin pada masa depan, saya akan terbabit lagi dalam projek dengan Naelofar Hijab," kata penyanyi lagu Zikir Terapi itu. 
Hafiz berkata, dia juga banyak belajar mengenai selok-belok perniagaan dengan Neelofa biarpun wanita itu lebih muda daripadanya.
"Apa yang dilakukan Neelofa selari dengan dirinya yang berstatus selebriti dan ahli perniagaan. Saya menghormati visi dan misinya," katanya. 
Dalam perkembangan lain, Hafiz memberitahu, dia merancang mengadakan konsert kerohanian sempena sambutan Maulidur Rasul, akhir tahun ini.
"InsyaAllah, jika tiada aral, konsert ini akan diadakan di Shah Alam. Saya sedang merangka sebuah konsert yang akan menggabungkan selebriti tempatan dan antarabangsa. 
"Saya sudah merisik beberapa artis tempatan termasuk Neelofa untuk turut serta. Semoga perancangan ini akan dipermudahkan," katanya.

BH

Post a Comment

0 Comments