• Politik Terkini

    Tuesday, November 1, 2016

    Husam VS Annuar Tan : Siapa Pembelot Sebenar


    Exco perindustrian Kelantan Datuk Anuar Tan Abdullah berkata pemimpin pembangkang negeri Datuk Husam Musa tidak patut mengungkit dasar yang diluluskan di zaman bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    Ini kerana, kata Anuar yang memegang portfolio perindustrian, perdagangan, perpaduan masyarakat dan pembangunan usahawan, almarhum “telah berada di alam yang lain” dan tidak berpeluang membela diri.
    “YB Datuk Husam membuat perbandingan di mana beliau menyatakan lebih baik menanam sayur kangkung kerana hasilnya lebih lumayan berbanding daripada almarhum memberi tanah yang luas kepada pelabur untuk menanam kelapa sawit yang menghasilkan pendapatan yang begitu sedikit.
    “Pada saya, ini merupakan satu kenyataan penghinaan yang tidak wajar ke atas program almarhum di samping beliau meludah ke atas muka sendiri kerana ia merupakan satu program yang dipersetujui oleh semua exco secara konsensus (sebulat suara dan ijmak), termasuklah YB Datuk Husam sendiri bersetuju,” katanya.

    Anuar berkata demikian ketika merujuk ucapan Husam di media sosial, yang mengkritik program Ladang Rakyat yang dilaksanakan Nik Abdul Aziz untuk membantu rakyat miskin.

    Dalam kenyataan di Harakahdaily semalam, Anuar menegaskan bahawa konsep mesyuarat yang diamalkan di zaman Nik Aziz ialah secara konsensus.
    “Setiap ahli boleh memberi pandangan masing-masing ke atas satu-satu isu, namun selepas almarhum membuat keputusan, semua ahli wajib memberi sokongan penuh ke atas perkara itu secara collective responsibility di mana semua ahli perlu akur dan sokong ke atas keputusan yang dicapai,” katanya.
    Menurut laman web rasmi, Program Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan dilancarkan oleh Nik Aziz pada 26 Januari 2006 badan berkanun itu ditubuhkan bagi memenuhi hasrat Kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk dan sosio ekonomi negeri.

    Ia juga bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan melalui sektor perladangan dan mengurangkan kadar penerokaan haram tanah kerajaan.

    'Nik Aziz tak pernah pengerusikan Ladang Rakyat'

    Sementara itu, Husam dalam jawapan balasnya malam tadi berkata Nik Aziz tidak pernah mempengerusikan Ladang Rakyat.
    “Seingat saya, apabila ada permohonan tanah oleh Ladang Rakyat dikemuka di dalam mesyuarat exco, tidak ada dikemukakan terma-terma penggunaan tanah yang dicadangkan oleh Ladang Rakyat.
    “Bolehlah kita dengan selamat mengatakan Tok Guru (Nik Aziz) tidak pernah diberitahu kedudukan kecilnya hasil Ladang Rakyat.
    “Tok Guru hanya diberitahu tentang kehebatan Ladang Rakyat berjaya memberikan dividen kepada peserta,” katanya yang juga bekas exco ekonomi negeri.
    Justeru, kata Husam, dakwaan bahawa mengkritik Ladang Rakyat sama seperti menghina dan mengkritik Tok Guru yang adalah salah.

    Ini kerana, katanya, Nik Aziz tidak pernah terlibat menentukan apa-apa terma dan syarat usaha sama Ladang Rakyat.
    “Bagaimana pula boleh dikatakan mengkritik Ladang Rakyat adalah mengkritik Tok Guru?
    “Ke mana pengerusi dan pengurusan Ladang Rakyat sehingga nama Tok Guru perlu digunakan?
    “Memang Tok Guru bergembira atas kejayaan pembahagian dividen tetapi Tok Guru tidak berkesempatan pada waktu itu untuk menilai kedudukan pentadbiran Ladang Rakyat,” katanya.

    MK

    No comments:

    Post a Comment

    Blogger Pembangkang

    Blogger BarisanNasional

    Blogger NonPolitik