Negeri Najib Razak Ditegur Masalah Air Oleh Tengku Mahkota Pahang


Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan kerajaan negeri supaya memberi perhatian serius dan segera mengatasi masalah bekalan air yang berlaku di beberapa buah daerah di negeri itu.

Tengku Abdullah juga mahukan pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah itu.
"Pahang mempunyai kawasan tadahan air yang banyak dan apabila masalah ini berlaku ia tidak boleh diterima kerana kita juga mengeksport air ke negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
"Duduk diam tanpa menyelesaikan isu ini tidak boleh diterima oleh rakyat dan saya akan panggil jabatan berkenaan untuk tinjau tentang masalah itu.
"Bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, namun semua agensi perlu main peranan untuk atasinya," titah baginda semasa merasmikan majlis pecah tanahprojek pembinaan jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan-Tanjung Lumpur, di Kuantan semalam.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kerja Raya DatukSeri Fadillah Yusof dan Pengerusi Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad dan Naib Pengerusinya, Datuk Seri Wan Zaki Wan Muda.

Dalam masa yang sama, baginda turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang banyak memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur di negeri ini termasuk dengan membina jambatan baru itu.
"Tahun 1960-an dahulu, rakyat Pekan terpaksa menaiki dua buah feri untuk ke bandar Pekan dan saya sendiri pernah merasai pengalaman tersebut semasa mengikuti ayahanda Sultan Ahmad Shah sebelum berpindah ke Kuantan.
"Kini banyak nikmat pembangunan telah dirasai oleh rakyat dan dengan pembinaan jambatan baharu ini, saya yakin limpahan ekonomi akan dapat dirasai oleh penduduk," tegas baginda.
- Bernama

Post a Comment

0 Comments