Obama Henti Melobi TPPA, Adakah Trump Bakal Hancurkan TPPA?


Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menghentikan semua usaha meraih sokongan kongres untuk perjanjian perdagangan bebas Asia sebelum pelantikan Donald Trump.

Pentadbiran Obama menyerahkan nasib Perkongsian Trans-Pasifik kepada Trump dan wakil rakyat Republican.

Para pegawainya juga menambah Obama akan menjelaskan perkara itu kepada para pemimpin 11 negara lain dalam pakatan TPP minggu depan di sidang kemuncak di Peru.

Jemaah setiausaha Obama dan Perwakilan Perdagangan AS giat melobi wakil rakyat sejak beberapa bulan lalu supaya meluluskan perjanjian TPP seusai pemilihan presiden negara itu dalam sesi kongres nanti.

Kemenangan Trump yang akan melangkah masuk ke Rumah Putih pada Januari dan jumlah majoriti Republican di Kongres menjejaskan rancangan Obama.

Bantahan terhadap TPP antara perkara utama dalam kempen Trump, yang menyifatkan perjanjian itu sebagai suatu “bencana” dan “pemerkosaan” kerana ia akan menyebabkan peluang pekerjaan berpindah ke luar negara. Ucapan anti-perdagangan dan ikrar untuk menghalang barangan import dari China dan Mexico memastikan beliau meraih undi pekerja kolar biru di negeri-negeri perkilangan seperti Ohio, Michigan, Wisconsin dan Pennsylvania.

Trump berkata beliau akan batalkan TPP, merunding semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara dan dasar perdagangan yang keras terhadap China.

Perjanjian itu, yang dirundingkan selama lebih 5 tahun dan ditandatangani pada Oktober 2015 bertujuan mengurangkan halangan perdagangan di negara ekonomi membangun di Asia dan melonjakkan ikatan antara sekutu AS berdepan kebangkitan China.

FMT

Post a Comment

0 Comments