PAS Bincang Kerjasama Dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)


PAS hari ini mengesahkan sedang berunding untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tetapi tidak akan mempertimbangkan berbaik semula dengan DAP dan Amanah, kata ketua pemudanya.

Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, PAS sudah dan sentiasa membuka pintunya kepada parti-parti pembangkang yang tidak pernah mengkhianati mereka.
“Ya, kami sedang mengadakan rundingan dengan PPBM sekarang.
“Oleh kerana kita tidak mempunyai pengalaman buruk dengan PPBM dan PKR, PAS terbuka kepada kemungkinan (bekerjasama dengan kedua-dua pihak).
“Tetapi, bagaimana kerjasama ini akan berlaku atau dalam bentuk apa belum diputuskan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Menyedari kerjasama dengan PPBM bermakna PAS secara tidak langsung akan bekerjasama dengan musuhnya, DAP, Nik Abduh berkata:
“Itu sebabnya kita belum membuat keputusan mengenai apa-apa lagi. Ia masih di peringkat perbincangan.”
Beliau bagaimanapun mengulangi pendirian PAS tidak akan mempertimbangkan untuk berbaik semula dengan “musuh-musuhnya”.
“Kami sudah kata sebelum ini. Ada 2 pihak yang kami tidak akan berkawan lagi. Mereka adalah DAP dan Amanah.”
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menafikan khabar angin kononnya PAs dan Umno sudah bekerjasama dalam diam.

Katanya, PAS akan menyokong apa sahaja perkara yang baik untuk negara, walaupun ia datang daripada Umno, namun ia tidak bermakna parti Islam itu akan membelakangkan perjuangannya bagi menewaskan Barisan Nasional.

Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, parti itu mahu jadi pengemudi utama, sekiranya parti-parti lain hendak bekerjasama dengannya.

Katanya, PAS bersedia membuka pintu kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang, tetapi hanya kepada parti sealiran dengan matlamat perjuangan menegakkan syiar Islam di negara ini.
“PAS tiada masalah kalau ada yang nak masuk rumah kami…tapi jangan pula lepas itu dia ‘curi’ dalam rumah kami,” kata Hadi dipercayai merujuk kepada perbuatan khianat.

FMT

Post a Comment

0 Comments