• Politik Terkini

    Tuesday, December 27, 2016

    Pakar Ekonomi Jangka Malaysia Berdepan Kenaikan Inflasi Pada 2017


    Paras inflasi di negara ini berpotensi untuk melonjak setinggi 2.8 peratus pada tahun hadapan, di sebalik kenaikan harga barangan yang dijana oleh kelemahan berterusan nilai ringgit.

    Firma penyelidikan, Nomura Research berkata, pihaknya menjangka inflasi Malaysia bakal meningkat ke tahap itu pada 2017 berbanding peningkatan purata 10 bulan sebanyak 2.1 peratus pada tahun ini.
    "Tatkala rakyat Malaysia di ambang menyambut 2017, mereka berdepan dengan ringgit yang lemah dan harga makanan yang semakin mahal. Perbelanjaan pengguna akan berkurangan ekoran barang yang diimport menjadi lebih mahal, menaikkan inflasi.
    "Ia didorong terutamanya oleh kesan asas daripada harga bahan api," kata Nomura Research, memetik laporan The Edge Markets.
    Sementara itu, Ahli Ekonomi UOB Malaysia Julia Goh pula berkata, pihaknya menjangkakan tekanan inflasi bakal melonjak ke paras 2.5 peratus sejajar kenaikan indeks harga pengguna (CPI).
    "Kami menjangka risiko kenaikan berikutan kelemahan mata wang, harga makanan yang lebih tinggi, kenaikan sederhana dalam harga minyak, kemungkinan penyelarasan gas dan tarif elektrik selain proses rasionalisasi subsidi.
    "Dengan luputnya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan menjelang akhir tahun juga boleh memberi kesan kepada pelarasan harga tahun depan walaupun kerajaan mungkin mengumumkan langkah-langkah baru untuk mengelakkan kenaikan harga melampau," jelas beliau dalam laporan yang sama.
    Seorang lagi ahli ekonomi JF Apex Securities Norsyafina Mohamad Zubir juga menjangka pertumbuhan inflasi pada kadar yang sama tahun hadapan.

    Mengenai prestasi matawang tempatan pula, Goh menjangka nilai ringgit akan berlegar-legar di paras RM4.50 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) tahun depan.

    PublicInvest Research pula dalam nota strategi 16 Disember yang lalu pula berkata, ringgit mampu pulih secara purata antara RM4.10 dan RM4.15 berbanding dolar AS pada 2017.
    "Walaupun kekal positif dalam jangka panjang ke atas ringgit, kita mesti mengakui hakikat bahawa pegangan hutang asing dalam negeri kekal tinggi.
    "Pada kiraan November yang lalu, hutang itu berjumlah RM181.8 bilion dalam hutang kerajaan tempatan, RM23 bilion dalam Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan RM17.1 bilion hutang sektor swasta untuk kekangan RM221.9 bilion," ujar firma itu 

    MK

    No comments:

    Post a Comment