TiTM - Henti Hentam PAS Jika Mahu Kerjasama


Parti pembangkang perlu berhenti menyerang PAS sebelum meneruskan usaha memujuk mereka bekerjasama bagi menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Sepatutnya mereka faham, tetapi kita tengok pimpinan (Pakatan Harapan) sendiri serang PAS, tuduh PAS macam-macam, lepas itu minta PAS kerjasama, tidak mungkinlah sebab itu kita minta hentikan semua tuduhan liar terhadap PAS.
“Sebarang kerjasama mesti mempunyai adab, tidak boleh sebarang kerjasama, kita hentam kawan kita dalam politik.
“Tiap-tiap hari PAS dihentam, yang paling dukacita rakan kita yang masih ada tahaluf menghentam kita, Amanah hari-hari hantar isyarat akan bertanding semua kerusi PAS, beri isyarat tawan Kelantan, nak ambil alih Terengganu, nak bertanding di kerusi PAS di Selangor, jadi apa makna kerjasama?”
Beliau berkata demikian ketika berucap di Ceramah Mega Rakyat sepentas bersama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan wakil presiden PKR, Sivarasa Rasiah yang disaksikan lebih 1,000 penyokong, malam tadi.

Kehadiran mereka dinanti-nantikan selepas PAS berkata usaha mendampingi 2 parti itu adalah langkah untuk mewujudkan perikatan politik baharu.

Tuan Ibrahim berkata, tidak ada guna PAS menyahut cabaran bekerjasama dengan Pakatan Harapan, pada masa sama pemimpin mereka diserang sekutu sendiri.
“PAS dituduh mendapat dana RM90 juta daripada Umno. Penafian demi penafian dibuat, orang tuduh PAS makan dedak Umno, yang kita bertanding tiap-tiap kerusi lawan Umno pun kita dituduh bekerjasama. PAS hadir Majlis Multaqa Ulamak bersama Umno, kena faham kita hadir atas dasar ummah, bukan politik,” kata timbalan presiden parti Islam itu.
Sebelum ini, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memberi tempoh sehingga akhir tahun ini kepada PAS untuk menentukan pendirian politik mereka bagi menghadapi PRU14.

Sabtu lalu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan PAS berdepan kekeliruan dalam memperjuangkan wadah politiknya.

Katanya, ruang perlu diberi kepada PAS untuk menyatakan pendirian sebenar, sama ada mahu bersama gabungan pembangkang yang disertai DAP dan Amanah atau bersama BN.

Tuan Ibrahim bagaimanapun mengulangi pendirian parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan Umno, sejajar keputusan Majlis Syura PAS.
“Isu kerjasama dengan Umno beberapa kali presiden buat kenyataan, PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno. Dalam muktamar, di luar muktamar, bahkan Majlis Syura badan tertinggi PAS keluar kenyataan bertulis PAS tidak akan bekerjasama atau bergabung dengan Umno, tapi dituduh juga.”
Sementara itu, Muhyiddin berkata, pendirian PAS untuk tidak bekerjasama dengan Umno selaras perjuangan PPBM dan parti itu akan memainkan peranan sebagai penghubung dengan parti pembangkang lain.
“Orang PAS sokong kita, sebab itu kita satu pentas hari ini (malam tadi). Saya dapat isyarat dari Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim dan mereka tegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dan itu juga matlamat PPBM.
“Kita boleh bekerjasama dengan PAS dan PH, saya saran usaha ini diteruskan dan perlu dibuat secara tersusun, saya tahu PAS dan Amanah, DAP ada masalah besar, dan PPBM akan berperanan sebagai jambatan untuk berhubung,” katanya.

FMT

Post a Comment

0 Comments