• Politik Terkini

    Tuesday, January 3, 2017

    Ini Sebab Kenapa Pusat Bandar JB BANJIR !


    Banjir kilat di Jalan Wong Ah Fook, di sini semalam bukan akibat limpahan air dari projek Sungai Segget oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), sebaliknya disebabkan hujan lebat yang berterusan selama tiga jam, menurut agensi itu.

    Ia juga didorong faktor saliran air di Jalan Meldrum yang tersumbat akibat pembuangan sampah dan sisa makanan serta limpahan air tanah di Jalan Trus yang berpunca dari projek pembangunan sekitar.
    “Aliran Sg. Segget adalah lancar berikutan sistem tebatan banjir yang sudah berfungsi dalam menampung air pasang dan taburan hujan yang lebat.
    “Sistem Tebatan Banjir di bawah Pakej 2 ini siap sebelum 31 Disember 2016,” kata Irda dalam satu kenyataan semalam.
    Pada 4.20 petang semalam, Jalan Wong Ah Fook merupakan antara 5 kawasan di Johor Bahru yang dinaiki air setinggi 0.5 meter, memaksa seramai 67 mangsa daripada 13 keluarga dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Permatang, Kempas.

    Irda menyatakan buat masa ini, jalan tersebut ditutup untuk laluan orang ramai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

    Irda juga berjanji bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam membersihkan kawasan terbabit bagi memastikan ia tidak mendatangkan kesan kepada projek Sungai Segget.

    Projek Sungai Segget dimulakan pada 2013 dengan tujuan mengatasi masalah banjir yang kerap dialami di kawasan Jalan Wong Ah Fook selain mampu menarik pelancong melalui projek pemuliharan dan mencantikkan sungai.

    Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor Bahru ketika dihubungi berkata, pusat pemindahan banjir sedia ada beroperasi sehingga 8 malam bagi menempatkan 25 lelaki, 26 wanita, 15 kanak-kanak lelaki dan perempuan serta seorang bayi lelaki.

    Selain Jalan Wong Ah Fook, kawasan lain yang turut dinaiki air ialah sekitar pasar raya Kipmart, Tampoi; Jalan Bakar Batu, Permas; Jalan Tebrau dan Permatang Kempas.

    mstar

    No comments:

    Post a Comment