• Politik Terkini

    Tuesday, January 3, 2017

    Kecewa - Pegawai SPRM Berperanan Utama Kes Anak Syarikat 1MDB "Bersara Awal"


    Seorang daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memainkan peranan utama dalam siasatan bekas anak syarikat 1MDB dilaporkan memilih bersara awal.

    Datuk Bahri Mohamad Zain, 57, adalah bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dikatakan menamatkan khidmatnya walaupun boleh terus bertugas sehingga tiga tahun lagi.
    Bahri bersara mulai Jumaat lalu selepas berkhidmat dengan agensi pencegahan rasuah itu sejak lebih 30 tahun lalu.
    BOK ditubuhkan pada 2010 untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan kes berprofil tinggi, terutama membabitkan rasuah bernilai lebih RM1 juta.

    Beliau memainkan peranan penting menyiasay SRC International (SRC) dan menjadi perhatian apabila sejumlah RM42 juta dananya ditemui pada akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

    Ketika siasatan SPRM ke atas 1MDB dianggap kompleks dan membabitkan banyak aspek perundangan luar negara - dengan peguam negara enggan mengeluarkan persetujuan bantuan undang-undang kepada pihak berkuasa asing, kes SRC dilihat jelas melibatkan entiti dalam negara.

    Wang SRC dimasukkan ke akaun perdana menteri melalui dua transaksi - iaitu pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 - selepas disalurkan melalui dua syarikat lain, iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

    Najib mendakwa tidak tahu menahu wang berkenaan adalah berasal dari SRC walaupun syarikat itu adalah milih kementerian kewangan. Perdana menteri juga menjawat tugas sebagai menteri kewangan pertama.
    Difahamkan antara sebab utama Bahri memilih untuk bersara adalah kerana kecewa dengan hasil siasatan terhadap SRC.
    Sumber memberitahu Malaysiakini, satu majlis perpisahan diadakan untuk Bahri serta beberapa kakitangan lain di SPRM pada Jumaat lalu.


    Bahri tidak hadir pada majlis perpisahan.
    "Datuk Bahri kecewa dengan apa yang berlaku dengan kes itu. Beliau juga berasa bersalah kepada rakyat Malaysia kerana berdasarkan kes-kes seumpama itu sebelum ini, ia akan disabitkan di mahkamah," kata seorang sumber yang rapat dengan Bahri.
    Bekas pengarah BOK itu pula tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau. Setakat ini tidak dapat dipastikan siapakah akan mengisi kekosongan ditinggalkan Bahri di BOK.

    Pada 31 Disember 2016 lalu Malaysiakini melaporkan enam pegawai kanan BOK yang terlibat secara langsung dalam siasatan ke atas SRC dipindahkan ke bahagian lain.

    Seorang daripada mereka ialah Timbalan Pengarah BOK, Tan Kang Sai. Dua daripada pegawai terbabit dipindahkan pada Oktober, manakala yang lain pada Disember lalu.

    Difahamkan empat daripada mereka dipindahkan ke bahagian siasatan SPRM, manakala yang lain dipindahkan ke SPRM negeri atau agensi lain kerajaan.

    MK

    No comments:

    Post a Comment