Pembunuhan Terancang Adun BN Terengganu


Polis Terengganu menemui petunjuk baharu berhubung kes pembunuhan bekas Adun Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, yang mati ditembak pada 9 Oktober 2015.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, petunjuk baharu itu diperoleh susulan kejayaan pihaknya menyelesaikan beberapa kes jenayah menggunakan pistol di negeri itu, baru-baru ini.
“Apa yang boleh saya beritahu memang ada petunjuk baharu dan siasatan masih berjalan untuk memburu suspek dan siapakah dalang di sebalik pembunuh upahan itu.
“Memang siasatan ini mengambil masa agak lama berbanding kes pembunuhan lain kerana ia dilakukan kumpulan pembunuh upahan yang sangat licik.
“Namun, dengan kepakaran dan keupayaan kami serta kerjasama dengan sumber dari Bukit Aman, gerakan memburu suspek masih dijalankan dan kami sedang lakukan yang terbaik untuk selesai kes ini,” 
Dalam kejadian 2 petang itu, Alias mati ditembak pada jarak dekat selepas didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal, di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.

Ditanya sama ada kematian mangsa mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan sepupunya, Mat Jusoh Ali, 56, juga dikenali Cikgu Zaki yang mati ditembak 2 bulan sebelum itu, Rosli berkata, pihaknya percaya pembunuhan itu dilakukan kumpulan pembunuh upahan sama dan didalangi orang sama.
“Kalau kita lihat arwah Alias dan arwah sepupunya, Cikgu Zaki itu terlibat dengan politik di kawasan sama (Marang), jadi kami percaya pembunuhan mereka berdua disebabkan motif sama.
“Kerana lepas pembunuhan Alias, tiada lagi kes pembunuhan baharu, cuma kami memang tolak motif politik dan siasatan lebih menjurus kepada kewangan dan perniagaan,”
Cikgu Zaki yang juga bekas pesara guru itu pula maut dipercayai terkena tembakan jarak jauh di kawasan rumahnya, di Kampung Padang Midin, dekat sini, pada 9 Ogos 2015.

FMT

Post a Comment

1 Comments