Petronas Antara Syarikat Dibenarkan Memohon Projek Minyak & Gas Di Iran


Iran semalam menamakan 29 syarikat mewakili lebih 10 negara yang dibenarkan memohon projek minyak dan gas di negara itu berdasarkan Perjanjian Petroleum Iran (IPC), menurut laporan agensi berita kementerian minyaknya, Shana.
Selain Petronas, syarikat lain yang menerima kelulusan awal ialah Shell, Total (France), Eni (Itali), Gazprom dan Lukoil (Rusia), di samping syarikat dari China, Austria dan Jepun.
Di bawah perjanjian IPC, Iran berharap menarik minat pelabur asing dan menambah pengeluaran selepas tamat sekatan ekonomi.

Senarai itu bagaimanapun tidak termasuk syarikat minyak BP.

Menurut The Financial Times, syarikat itu menarik diri kerana bimbang ketegangan Iran dan Amerika Syarikat akan berulang selepas Donald Trump mengambil alih jawatan presiden pada 20 Januari.
Trump sebelum ini berkata beliau akan membatalkan perjanjian mengenai projek tenaga nuklear Iran yang dicapai dengan AS dan kuasa dunia lain, yang menamatkan sekatan ekonomi ke atas Tehran pada Januari tahun lalu.
Pada Oktober, syarikat minyak negara Iran, NIOC memeterai perjanjian pertama pengeluaran minyak di bawah terma IPC dengan sebuah syarikat minyak tempatan yang menurut AS dikawal pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Model IPC itu terpaksa ditunda beberapa kali disebabkan bantahan seteru Presiden Hassan Rouhani. Ia menamatkan amalan sebelum ini di mana firma luar tidak dibenarkan menempah rizab atau membeli ekuiti dalam syarikat Iran.

Model IPC juga mempunyai syarat lebih longgar dan mengambil kira harga minyak dan risiko pelaburan.

Syarikat minyak utama dunia berkata mereka akan hanya kembali ke Iran sekiranya syarat sebelum ini dipinda, yang menjadi punca syarikat seperti Total dari Peranchis dan Eni dari Itali menanggung kerugian.

FMT

Post a Comment

0 Comments