• Politik Terkini

    Monday, January 2, 2017

    Sebab Kenapa PRU14 Tidak Akan Dibuat Tahun 2017


    Ringgit menutup 2016 pada kadar RM4.49 kepada AS$1. Felda pula menutup tirai 2016 dengan keputusan penuh kontroversi membeli 37% kepentingan saham Eagle High Plantation pada harga AS$505.4 juta menggunakan FIC Properties Sdn Bhd.

    Saham Felda Global Venture pula terus menjunam ke RM1.55, berbanding harga RM4.55 sesaham ketika ia disenaraikan di Bursa Malaysia.

    Bajet 2017 yang menyaksikan pelbagai peruntukan dipotong tidak menampakkan ia sebagai satu bajet pilihan raya. Kerajaan pula tidak sengaja memberi isyarat 2017 merupakan tahun penuh cabaran dengan “hadiah” kenaikan 20 sen untuk harga diesel dan RON95.

    Kebanyakan barangan dan makanan mentah negara diimport. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan inflasi terus kepada harga makanan dan kos sara hidup. Lihatlah betapa ramainya ibu bapa yang merana minggu terakhir sebelum sekolah bermula untuk menyediakan persediaan sekolah anak.

    Nampaknya 2017 bukanlah tahun yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

    Terdapat 3 penentu bagi BN menentukan tarikh PRU14 :

    Pertama ialah nilai ringgit.

    • Jika nilai ringgit tidak pulih ke tahap menghampiri RM4 kepada AS$1, malah terus jatuh menghampiri RM4.80 kepada AS$1, pilihan raya akan terus ditunda sehingga Parlimen terbubar secara tersendirinya pada 2018.

    Kedua, ialah harga minyak sedunia.

    • Sekiranya harga minyak terus naik, dividen Petronas kepada kerajaan akan pulih, maka ketika itu kerajaan berkemampuan untuk membuat bajet pilihan raya bagi 2018 tanpa perlu menaikkan kadar GST.

    Dengan adanya dana yang mencukupi, maka penentu ketiga boleh dicipta iaitu “feel-good factor” atau mood positif di kalangan rakyat terhadap kerajaan.

    Kejayaan melancarkan MRT bukanlah satu daripada “feel-good factor”. Kesan positif MRT pada rakyat akan terbantut selagi rakyat Malaysia tidak dapat mengikis kebergantungan dan tabiat mereka menggunakan kenderaan sendiri.

    Perbalahan antara parti pembangkang juga sukar dijadikan penentu untuk pilihan raya diadakan. Ini kerana parti pembangkang berkemungkinan besar akan berkompromi pada saat-saat akhir untuk bersama jika mereka terhidu mood rakyat terhadap kerajaan adalah negatif.

    BN pernah melalui kempen “Asal bukan BN” yang menyaksikan rakyat sudi mengundi sesiapa saja asalkan ia bukan calon BN-Umno sehinggakan calon pembangkang yang tidak dikenali juga menang di tempat dirasakan selamat.

    Tidak mustahil angin akan bertiup kembali apabila rakyat tertekan dengan kos sara hidup yang sukar dihadapi.

    Nilai statistik dan peratusan ekonomi positif yang dikeluarkan pakar ekonomi kerajaan tidak akan dapat meyakinkan rakyat sekiranya rakyat tidak dapat merasai perkembangan ekonomi dalam kehidupan mereka.

    Ekonomi faktor penentu terbesar kemenangan di PRU14.

    Kerana itulah, rakyat perlu berhati-hati agar tidak terseret dalam perbalahan antara kaum, agama dan sentimen perbezaan budaya yang sengaja dicipta untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar yang memberi kesan kepada negara dan kehidupan mereka.

    FMT

    No comments:

    Post a Comment

    Blogger Pembangkang

    Blogger BarisanNasional

    Blogger NonPolitik