• Politik Terkini

    Monday, February 13, 2017

    Forest City | Mahathir Bersedia Ke Mahkamah Untuk Perhatian Kumpulan Pekak, Buta & Tuli (PBT)


    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan mereka yang membuat laporan polis berhubung dakwaannya terhadap projek Forest City di Johor berjaya menarik perhatian golongan 'pekak, buta dan tuli'.
    "Walaupun bodoh tetapi laporan polis yang dibuat berjaya menarik perhatian kumpulan yang pekak, buta dan tuli (PBT).
    "Saya akan membuat penjelasan yang lebih panjang dan mempamerkan fakta-fakta berkenaan projek ini apabila saya dihadapkan ke mahkamah," katanya dalam catatan di blog.
    Mahathir berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh beberapa NGO yang mendakwa beliau membuat fitnah apabila mengatakan projek Forest City akan membuka pintu kepada warga China.

    Mahathir berkata beliau hairan mengapa NGO terbabit tidak membuat laporan polis terhadap akhbar Bloomberg, yang turut membuat dakwaan yang sama.
    "Besar kemungkinan puak PBT ini tidak baca, atau kalau baca sekalipun tidak faham. Yang dilapor oleh Bloomberg lebih dari yang saya sebutkan dalam ucapan saya.
    "Sekarang selepas saya jelaskan asas dakwaan saya, buatlah laporan polis terhadap Bloomberg. Tetapi saya yakin mereka tidak berani.
    "Tujuan laporan mereka terhadap saya bukan diasaskan kepada kenyataan saya itu tidak betul. Laporan dibuat untuk menghentikan saya dari bercakap benar. Dalam Malaysia sekarang ini kebenaran amat ditakuti. Pembohongan disanjung tinggi," kata bekas perdana menteri itu.
    Beliau turut mengesyorkan NGO terbabit membuat lawatan ke Forest City untuk melihat sendiri siapa pembeli bangunan di kawasan itu.
    "Dahulu, di waktu kita kurang bijak, Singapura telah dijual ke British. Sekarang ini Singapura menjadi negara asing yang tidak mungkin dikembalikan kepada Johor.
    "Penjualan tanah untuk dibangun dan diduduki oleh orang asing selama-lamanya tidak banyak berlainan dengan penjualan Singapura," kata Mahathir.
    "Sesungguhnya NGO-NGO ini mengkhianati bangsa dan negara kerana menyokong penjualan wilayah di Malaysia kepada orang asing yang akan mendiri bandar-bandar mewah untuk diduduki dan dimiliki selama-lamanya oleh mereka," kata Mahathir.
    Mahathir juga berkata tidak ada mana-mana negara di dunia yang sanggup menerima kemasukan ramai orang asing ke negara mereka.

    Katanya, pendirian rakyat Johor yang menolak kemasukan orang asing menerusi projek Forest City tidak berbeza dengan pendirian bangsa-bangsa lain terhadap kemasukan beramai-ramai orang asing ke negara mereka.

    "Amerika dengan penduduk seramai 325 juta pun menolak kemasukan orang Mexico dan oleh Trump, orang Islam.
    "Di Palestin, pembinaan bandar-bandar untuk orang Yahudi di tanah milik orang Palestin ditentang oleh mereka. Di Eropah kemasukan pelarian dari Syria dan lain-lain negara Arab dan Afrika dihalang oleh mereka," katanya.

    MK

    No comments:

    Post a Comment