Program Baru Trump Seolah Meletakkan Semua Kesalahan Terhadap Orang Islam !!!


Pentadbiran Donald Trump mahu merombak dan menamakan semula semua program kerajaan Amerika Syarikat yang direka untuk menentang semua ideologi keganasan supaya ia fokus semata-mata terhadap ekstremisme Islam, demikian lima wakil yang diberi taklimat mengenai perkara itu memberitahu Reuters.
Program 'Menentang ekstremisme keganasan', atau CVE, akan ditukar kepada 'Menentang Ekstremisme Islam' atau 'Menentang Ekstremisme Radikal Islam', kata sumber-sumber, dan tidak lagi akan menyasarkan kumpulan seperti pelampau kulit putih yang juga turut melakukan pengeboman dan serangan bersenjata di Amerika Syarikat.
Perubahan seumpama itu akan mencerminkan retorik kempen pilihan raya Trump dan kritikan terhadap bekas Presiden Barack Obama kerana lemah dalam memerangi Negara Islam (IS) dan kerana enggan menggunakan frasa "radikal Islam" dalam menggambarkannya. IS telah mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas orang awam di beberapa buah negara.

Program CVE bertujuan untuk menghalang kumpulan atau potensi penyerang persendirian melalui perkongsian komuniti dan program pendidikan atau kempen balas mesej dengan kerjasama syarikat seperti Google dan Facebook.

Beberapa penyokong program itu bimbang penjenamaan semula itu boleh membuat ia lebih sukar bagi kerajaan untuk bekerjasama dengan orang Islam yang sudah pun teragak-agak untuk mempercayai pentadbiran baru, terutamanya selepas Trump mengeluarkan perintah eksekutif Jumaat lepas menyekat sementara perjalanan ke Amerika Syarikat dari tujuh buah negara Islam .

Namun, program CVE, yang memfokuskan terhadap penduduk Amerika Syarikat dan berasingan daripada usaha ketenteraan untuk memerangi ekstremisme dalam talian, telah dikritik malah oleh sesetengah penyokong sebagai tidak berkesan.

Satu sumber yang telah bekerja rapat dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) berhubung program itu berkata anggota pasukan peralihan Trump pertamanya bertemu dengan pasukan petugas CVE pada bulan Disember dan mengapungkan idea menukar fokus dan namanya.

Dalam mesyuarat Khamis lepas yang dihadiri oleh kakitangan kanan untuk Setiausaha DHS John Kelly, kakitangan kerajaan telah diminta untuk mempertahankan mengapa mereka memilih pertubuhan komuniti tertentu sebagai penerima geran program CVE, kata sumber itu yang tidak mahu dikenali kerana sensitiviti perbincangan tersebut.

Walaupun pembiayaan CVE telah diperuntukkan oleh Kongres dan penerima geran telah dimaklumkan pada hari-hari terakhir pentadbiran Obama, namun wang itu masih belum disalurkan, kata sumber itu, sambil menambah bahawa Kelly sedang mengkaji semula perkara itu.

Jabatan itu enggan mengulas. Rumah Putih tidak memberi respons untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, banyak kumpulan komuniti telah pun berhati-hati mengenai program itu, sebahagiannya kerana bimbang ia juga boleh berfungsi sebagai alat pengawasan untuk penguatkuasaan undang-undang.

Hoda Hawa, pengarah dasar bagi Majlis Hal-Ehwal Awam Islam, berkata dia dimaklumkan minggu lepas oleh orang dalam DHS bahawa terdapat dorongan untuk memfokuskan semula usaha CVE dari menangani semua ideologi keganasan, kepada hanya ekstremisme Islam.
"Itu membimbangkan bagi kami kerana mereka menyasarkan kumpulan agama dan menjadikannya sasaran syak wasangka,"

Satu lagi sumber yang biasa dengan perkara itu diberitahu minggu lalu oleh seorang pegawai DHS bahawa perubahan nama itu akan berlaku. Tiga sumber lain, yang bercakap dengan syarat tidak mahu nama mereka disiarkan, berkata rancangan seumpama itu telah dibincangkan tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada ia telah dimuktamadkan.

Pentadbiran Obama berusaha untuk memupuk hubungan baik dengan kumpulan-kumpulan masyarakat untuk melibatkan diri mereka dalam usaha memerangani keganasan. Pada 2016, Kongres memperuntukkan AS$10 juta geran untuk usaha CVE itu dan DHS menerima geran pertama pada 13 Januari, seminggu sebelum Trump mengambil alih jawatan presiden.

Antara yang diluluskan ialah kerajaan tempatan, jabatan polis bandaraya, universiti dan organisasi bukan keuntungan. Selain organisasi khusus untuk membanteras pengambilan anggota oleh IS di Amerika Syarikat, geran itu juga disalurkan kepada Life After Hate, yang memulihkan bekas neo-Nazi dan pelampau domestik yang lain.

Hanya dalam tempoh dua tahun lalu, pihak berkuasa menyalahkan ideologi radikal dan keganasan sebagai motif kejadian pelampau kulit putih mengamuk melepaskan tembakan di dalam sebuah gereja bersejarah Afrika-Amerika di Charleston, South Carolina dan militan Islam melepaskan tembakan dan melakukan pengeboman di California, Florida dan New York.

Salah satu penerima geran itu, Leaders Advancing & Helping Communities (LAHC), yang berpejabat di Michigan, yang diketuai oleh rakyat Amerika keturunan Lebanon, telah menolak geran AS$500,000 DHS yang ipohonnya, demikian menurut satu emel yang dihantar kumpulan itu yang dilihat oleh Reuters. Seorang wakil kumpulan itu mengesahkan geran itu ditolak tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
"Memandangkan suasana politik semasa dan sebab yang membimbangkan, LAHC telah memilih untuk menolak pemberian itu," kata emel itu yang dihantar Khamis lepas, sehari sebelum Trump mengeluarkan perintah imigresen, yang dikecams di dalam dan di luar negara sebagai satu diskriminasi terhadap umat Islam manakala Rumah Putih berkata ia bertujuan "untuk melindungi rakyat Amerika daripada serangan pengganas oleh warga asing."

MK

Post a Comment

0 Comments