Semakin Keruh - Duta Malaysia Dipanggil Balik, Siasatan Ditolak, Duta Dakwa Rakyatnya Diugut



Duta Malaysia di Pyongyang Dipanggil Pulang
Kerajaan memanggil pulang Duta Malaysia di Pyongyang sebagai reaksi kepada kenyataan dibuat diplomat Korea Utara ke atas Malaysia baru-baru ini.

Kementerian Luar menegaskan, disebabkan kematian Kim Jong-nam itu berlaku di Malaysia dan dalam keadaan mencurigakan, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.

"Penyiasatan kes ini telah dilaksanakan mengikut tatacara yang telah ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia.

"Kedutaan Besar Republik Demokratik Rakyat Korea (Korea Utara) turut dimaklumkan bahawa kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Oleh itu, proses bedah siasat perlu dijalankan," kata kenyataan berkenaan.
Malaysiakini
 
Pyongyang Kecam Siasatan Polis Malaysia
Pyongyang meluahkan rasa tidak yakin ke atas siasatan yang dijalankan oleh pasukan polis Malaysia berhubung kematian Kim Jong-nam.

"Sudah tujuh hari berlalu sejak kejadian itu, tetapi tidak ada bukti jelas mengenai punca kematian dan pada ketika ini, kami tidak boleh mempercayai siasatan oleh polis Malaysia walaupun, akan memperolehi laporannya.

"Ini hanya menimbulkan keraguan bahawa mungkin ada tangan lain di sebalik siasatan itu," kata duta Korea Utara Kang Chol pada sidang akhbar di kedutaannya di Kuala Lumpur petang ini.

Beliau juga mendakwa bahawa pihak berkuasa negara ini dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah berhubung perkara itu.

Kang juga menuduh Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan untuk membantu mengalihkan perhatian berhubung krisis berterusan yang sedang menyelubungi kepimpinan Korea Selatan.
Sepanjang sidang media itu, Kang tidak sekalipun merujuk si mati sebagai Kim Jong-nam, abang tiri kepada Presiden Korea Utara Kim Jong-un.

Sebaliknya, beliau merujuk lelaki yang dibunuh itu sebagai Kim Chol, nama yang dinyatakan pada pasport si mati.
Malaysiakini 

 Duta Pyongyang Dakwa Rakyatnya Diugut
Duta Korea Utara Kang Chol mendakwa polis negara ini mengancam anggota keluarga seorang rakyatnya dan memukul anaknya ketika menyerbu sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Pada sidang media di Kedutaan Korea Utara, Kang Chol membacakan kenyataan lima halamannya, yang antaranya menyebut:

“Malam Jumaat lalu, polis Malaysia berpakaian biasa menyerbu sebuah kondominium rakyat kami di Kuala Lumpur dan tanpa sebarang waran atau bukti secara paksa menahan serta mengumumkan mereka menahan perancang (kes Jong-nam) sebelum sebarang siasatan bermula.

“Mereka malah mengacukan pistol pada anggota keluarga dan mengancam nyawa mereka dan memukul anak remajanya di muka.

“Ini adalah pelanggaran hak asasi manusia yang hanya boleh dilihat dalam filem mafia Amerika Syarikat,” katanya.

Kenyataan keras itu dibuat selepas Wisma Putra mendedahkan mereka memanggil Kang Chol menjelaskan kenyataannya yang kelihatan menggambarkan Malaysia menyembunyikan sesuatu. Malaysiakini

Post a Comment

2 Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete