10 Perkara Durjana Untuk "Annuar Musa" Peduli Daripada Isu Lim Kit Siang


Ketika Tan Sri Annuar Musa dilantik menjadi ketua penerangan Umno tahun lalu, beliau sendiri menyifatkannya suatu kejutan dan bukan calon terbaik untuk jawatan itu kerana tugasannya yang sangat berat.

Hari ini, terbuktilah tanggapan Annuar itu betul kerana beliau gagal untuk menerangkan kepada rakyat negara ini termasuk di kalangan ahli Umno sendiri mengenai tindak-tanduk kerajaan.

Rakyat termasuk ahli Umno sendiri ternanti-nanti dan dahagakan penerangan dan penjelasan mengenai rasional dan logiknya segala tindakan kerajaan mempertahankan kerajaan sedia ada tetapi hampa kerana tidak dibekalkan dengan maklumat yang sahih dan benar.

Walaupun jawatan itu berpaksikan sebuah parti politik, secara realitinya, Annuar memegang amanah untuk bersuara bagi pihak kerajaan kerana pada masa ini, kerajaan Malaysia diterajui oleh Umno dan pimpinan Umno yang menjadi menteri yang mentadbir negara ini.

Daripada terus menerangkan segala punca dan sebab-musabab kepada permasalahan rakyat yang kian meruncing, Annuar memilih untuk membuang masa banyak pihak dengan menyerang DAP dan pimpinannya dengan retorik lapuk lagi usang iaitu anti-Islam, anti-Melayu dan rasis.

Daripada bergelut mencari strategi menyerang pembangkang terutama DAP dengan retorik sedemikian yang semakin tidak dipercayai selepas rakyat melihat sendiri pentadbiran DAP di Pulau Pinang, adalah lebih baik Annuar bersama-sama pasukannya mengembeling tenaga untuk menjawab isu-isu berikut.

Pertama, bagaimana kerajaan mahu menangani ledakan inflasi 4.5% buat masa ini yang dijangka berterusan untuk beberapa bulan, kerana isu tersebut lebih memberi kesan kepada kehidupan seharian.
Kenaikan kadar inflasi ini di tahap itu sememangnya tidak menggambarkan lonjakan sebenar terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Georgetown dan Johor Bahru yang kian dihimpit kenaikan harga barangan sekitar 2 angka.

Kedua, bagaimana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mampu membantu rakyat mengatasi kos sara hidup sedangkan tangan kanan kerajaan mengambil RM39 bilion menerusi kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi tangan kiri memulangkan RM6.8 juta sahaja dalam bentuk BR1M.

Ketiga, Annuar juga boleh menerangkan bagaimana kerajaan akan menyelesaikan kemelut 93% rakyat Malaysia yang masih tidak memiliki rumah sendiri dengan kebanyakan daripada mereka adalah golongan muda bawah 40 tahun yang bergaji kecil.

HSBC dalam kajiannya baru-baru ini mendedahkan golongan muda mendapati mereka tidak mampu untuk membeli rumah disebabkan peningkatan harga hartanah dan kenaikan gaji yang lebih perlahan.

Keempat, terangkan bagaimana kerajaan mahu menguruskan nilai ringgit yang semakin melemah sehingga menjejaskan ekonomi bukan sahaja rakyat tempatan yang membeli barangan import, mereka yang menghantar anak belajar di luar negara, malah golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perdagangan di luar negara.

Kelima, Annuar perlu mengambil tanggungjawab untuk menerangkan kepada rakyat terutama di bandar bagaimana kerajaan akan membersihkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa setelah begitu tercalar ekoran skandal 1MDB yang terpampang di banyak akhbar di luar negara.

Keenam, kerajaan perlu menjelaskan jika benar jangkaan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bahawa 45,000 hingga 50,000 pekerja akan kehilangan punca pendapatan tahun ini tidak akan menjadi realiti di sebalik khabar angin pemberhentian pekerja dalam beberapa syarikat gergasi.

Antaranya ialah khabar angin penamatan perkhidmatan ribuan pekerja susulan pelupusan sebahagian daripada kepentingan Proton kepada rakan strategik asing selain nasib pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad yang bakal terlibat dengan Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api.

Ketujuh, masalah pembiayaan pengajian yang meruncing di kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sendiri selain ribuan anak muda lain yang layak untuk menyambung pengajian tetapi tidak mendapat biasiswa pendidikan.

Kelapan, Annuar perlu menerangkan penyelesaian kerajaan dalam menangani masalah pengangguran di kalangan graduan muda yang terpaksa membayar pinjaman pelajaran sehingga menyebabkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan seramai 663,000 peminjam gagal membuat bayaran balik pinjaman melibatkan jumlah RM4.7 bilion setakat 31 Januari 2017.

Harus difahami, bukan semua antara mereka yang mempunyai pekerjaan tetapi tidak mahu membayar kerana majoriti daripada mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap ataupun mendapat pekerjaan yang bergaji kecil, serta tidak mampu untuk membuat bayaran PTPTN setelah melangsaikan bil bulanan mereka.

Kadar pengangguran di Malaysia dilaporkan meningkat sedikit kepada 3.5% pada bulan Januari 2017 daripada 3.4% pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Bilangan penganggur meningkat 2.5% berbanding tahun sebelumnya kepada 514, 100 orang.

Kesembilan, Annuar juga harus menerangkan apa yang kerajaan bakal lakukan dengan data statistik kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2011 hingga Disember 2015 dengan 101,537 kes bankrap kerana berpunca daripada masalah pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan.

Kesepuluh, beliau yang juga ahli Parlimen Ketereh perlu meringankan minda para peneroka Felda dengan menerangkan kerugian tidak nyata sebanyak RM1.21 bilion hasil pegangan 33.8% saham dalam Felda Global Ventures Bhd (FGV) dan masa depan syarikat perladangan yang menjadi periuk nasi ribuan penduduk Melayu di bumi bertuah Malaysia.

Bebanan yang dipermudahkan
 
Justeru, daripada rakyat disajikan dengan dakyah serta tohmahan siapa rasis, anti-Islam, anti-Melayu, lebih baik Annuar menjalankan kerja yang diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberi penerangan dan penjelasan, moga-moga rakyat tidak terus berbeban di peringkat psikologi.

Rakyat hari ini semakin matang untuk memilih kerajaan yang lebih cekap, berorientasikan rakyat dan berdaya maju setelah melihatkan corak pentadbiran serta pemerintahan dua negeri paling maju di negara ini iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh pesaing politik BN.

Percayalah, walaupun ada isu-isu dalam Pakatan Harapan yang belum diselesaikan oleh pimpinan utama pembangkang di negara ini, janganlah Annuar mengambil mudah untuk mempertahankan BN dengan isu dan cara lama dengan berlegar-legar dalam isu perkauman dan keagamaan.

Sebaliknya, tumpukan kepada menjawab dan mencadangkan penyelesaian isu-isu di atas yang bukan sahaja melibatkan masa depan negara malah kelangsungan hidup seharian semua lapisan masyarakat termasuk golongan pesara Melayu yang selama ini menyokong Umno.

Amran Ahmad
-Pernah mengetuai Kesatuan Kebangsaan Wartawan cawangan Utusan Melayu, dan seorang ahli DAP.
Malaysiakini

Post a Comment

Previous Post Next Post