HSBC London - 93% Rakyat Malaysia Tidak Memiliki Rumah Sendiri !!


Sebanyak 93 peratus rakyat Malaysia yang masih tidak memiliki rumah sendiri dijangka mampu berbuat demikian dalam tempoh lima tahun akan datang, menurut hasil kajian 'Beyond the Brick' oleh HSBC Holdings plc, London.

Peningkatan penawaran kediaman mampu milik dan infrastruktur pengangkutan oleh pemaju hartanah, akan membantu menstabilkan harga hartanah sepanjang tempoh berkenaan, menurut kajian itu.
Hasil dapatan tersebut adalah berdasarkan kajian ke atas 9,000 pemilik kediaman dan pemilik bukan kediaman di Australia, Kanada, China, Perancis, Malaysia, Mexico, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Responden memberi maklum balas mengenai prospek pemilikan rumah, perubahan fungsi kediaman dan kesukaran tidak diduga dalam melakukan bajet masing-masing.

Ketua Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Malaysia, Lim Eng Seong berkata, Malaysia menyaksikan peningkatan harga hartanah yang mendadak semasa dekad lepas, bagaimanapun, pada tahun lalu, harga berkenaan agak mendatar.
"Rumah dalam sektor hartanah peringkat pertengahan, berharga di bawah RM500,000, mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan golongan muda yang mahu membeli rumah pertama mereka," katanya kepada pemberita selepas hasil kajian itu diumumkan.
Bagaimanapun, golongan muda mendapati mereka tidak mampu untuk membeli rumah disebabkan peningkatan harga hartanah dan kenaikan gaji yang lebih perlahan.

Kajian itu turut menunjukkan 75 peratus golongan muda yang berhasrat membeli rumah tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk bayaran pendahuluan dan 43 peratus pula menangguhkan hasrat itu kerana tidak mampu membeli jenis rumah yang menjadi pilihan mereka.

Mengenai kekurangan tunai untuk membeli rumah, 62 peratus golongan muda sedia mempertimbangkan bagi mengurangkan perbelanjaan untuk aktiviti masa lapang, 41 peratus sedia membeli kediaman yang lebih kecil dan 23 peratus pula  mempertimbangkan untuk membeli hartanah bersama-sama anggota keluarga.

Kajian HSBC itu juga mengenal pasti empat langkah yang diambil golongan muda untuk merealisasikan pemilikan rumah.

Lim berkata, langkah itu adalah melaksanakan perancangan lebih awal dan tidak memandang ringan bayaran pendahuluan, bajet perlu melebihi harga belian, mempertimbangkan semula perbelanjaan harian di samping mendapatkan maklumat sepenuhnya bagi kewangan masing-masing.
"Sebagai contoh termasuk, membuat simpanan awal untuk bayaran pendahuluan, menetapkan bajet bagi kelengkapan rumah serta mendapatkan nasihat kewangan profesional untuk membantu dalam membuat pilihan yang tepat," katanya.

MK

Post a Comment

0 Comments