• Politik Terkini

    Sunday, March 26, 2017

    RUU355 Perlu Persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu Sebelum Pembentangan Di Parlimen


    Seorang bekas Ketua Hakim Negara berkata sebarang cadangan atau pindaan akta berkaitan agama Islam termasuk Rang Undang-undang (RUU) Persendirian perlu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.

    Ini termasuk rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), kata Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

    Beliau berkata sebagai ketua agama Islam, Raja-Raja Melayu mempunyai peranan tersendiri dalam menentukan sesuatu perkara berkaitan agama Islam sebelum ia diguna pakai ke atas pihak yang disasarkan.
    "Saya amati perdebatan, kemusykilan mengenai mengapa RUU 355 tidak dipersembahkan kepada raja-raja sebelum ia dibentangkan di Parlimen ada lojiknya.

    "Hal ini boleh diperhujahkan kerana jelas tercatat dalam Perlembagaan Negara yang mewajibkan rujukan (mengenai agama Islam) dibuat kepada Majlis Raja-Raja yang juga ketua agama Islam dan hal yang termaktub itu mesti kita hormati," katanya.
    Beliau menegaskan demikian dalam sesi soal-jawab mengenai syarahan bertajuk "Islam as the Law of the Land" (Islam sebagai Undang-Undang Tanah Air), di ibu negara semalam.

    Ahmad Fairuz, ketua hakim negara dari 2003 hingga 2007, berkata peranan Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama Islam tidak seharusnya dipinggirkan.
    "Mahkamah Syariah wujud kerana Islam. Justeru itu, apa-apa yang berkaitan dengan Islam perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja dan mendapat persetujuan mereka sebelum dibentangkan di Parlimen.

    "Mereka (Majlis Raja-Raja) mempunyai peranan masing-masing. Jika tidak kerana mereka, kita tidak akan merdeka," katanya.
    Menjawab persoalan mengapa orang bukan Islam menentang RUU 355 walaupun akta itu tidak langsung melibatkan mereka, Ahmad Fairuz berkata, beliau tidak nampak sebab yang kukuh untuk orang bukan Islam menentangnya.
    "Sememangnya RUU 355 tidak melibatkan langsung orang bukan Islam. Apa yang mereka perlu risau?,"
    Mengulas mengenai keperluan melakukan pindaan terhadap akta berkenaan, Ahmad Fairuz berpendapat kes jenayah di bawah akta berkenaan semakin berleluasa.
    "Peningkatan hukuman ini diharapkan dapat mengurangkan kesalahan yang dilakukan oleh orang beragama Islam kerana hukuman sedia ada tidak mencukupi bagi memberi kesedaran dan rasa takut kepada mereka,"
    Cadangan meminda RUU 355 itu buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 24 November tahun lepas.

    Ia bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan untuk menggantikan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali' dengan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan Tatacara Jenayah Syariah'.

    MD

    2 comments:

    1. Agong Lama dah approved...Agong baru lagi dah lama approved!

      Jika diluluskan, terpulang kepada setiap negeri di Malaysia samada nak memakai pindaan terbaru atau masih nak ditakuk lama!

      ReplyDelete
      Replies
      1. Berita kat mana ko dgr ni? Apesal masa himpunan raksasa ruu355 takde bagitau. bagi link sat.. kt mane ko bace

        Delete