• Politik Terkini

    Wednesday, March 22, 2017

    Sultan Johor Dedah Ejen Jual Gelaran Tan Sri " RM 2 JUTA ! "

    Menjelang Hari Keputeraan Sultan Johor esok, sudah pasti ramai yang ternanti-nanti siapakah gerangan yang bakal dianugerahkan darjah kebesaran oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Namun demikian, itu bukan lagi menjadi mimpi indah bagi mana-mana pihak yang berhajat untuk memiliki darjah kebesaran itu.

    Ini kerana, Sultan Ibrahim telah bertitah bahawa baginda akan lebih tegas dalam penganugerahan darjah kebesaran itu.

    Apatah lagi, selepas baginda pernah didatangi ejen yang mendakwa kononnya baginda ada kuota untuk menjual anugerah gelaran Tan Sri dengan tawaran RM2 juta bagi setiap satunya.
    "Bila dah dekat hari keputeraan saya, macam-macam ejen datang nak jual Datuk Johor. Ada juga yang boleh percaya darjah Johor ini boleh dijual beli.
    "Tahun lepas, 62 Tan Sri, senang sangat dapat Tan Sri. Ejen-ejen ada juga yang datang jumpa saya yang menyatakan saya ini ada kouta jual Tan Sri dan nak bagi saya RM2 juta untuk satu 'Tan Sri'.
    "Saya cakap dengan ejen ini, saya tak nak namakan dia nanti dia malu, saya kata berambus. Itu bukan periuk nasi saya jual darjah," titah baginda.
    Baginda bertitah demikian dalam wawancara eksklusif bersama Berita Harian sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, esok.

    Oleh demikian, baginda bertitah supaya tidak ada lagi pihak yang cuba berbuat demikian.
    "Pada mereka yang mudah tertipu itu nasib awaklah. Pesanan saya sekarang, ingat Datuk Johor, pingat, darjah kebesaran itu tak boleh beli.
    "Saya akan menitah pada Jumaah Majlis Diraja Johor siapa saya nak bagi.
    "Contoh tahun ini mungkin satu, dua saja Datuk (akan dianugerahkan)," titah baginda.
    Malah, Sultan Johor juga bertitah penerima darjah kebesaran dan pingat Johor boleh memulangkan semula anugerah jika berasa tidak wajar menggunakannya lagi.

    Sultan Ibrahim juga bertitah baginda tidak bercadang menarik balik anugerah walaupun pernah berbuat demikian, namun di Johor, penerima boleh memulangkan anugerah pada bila-bila masa.
    "Datuk Johor ini satu keunikan dia tak suka boleh pulang balik dan siapa-siapa yang dah terima darjah-darjah Johor, darjah kebesaran kalau tak suka boleh pulang. Saya terima dengan hati yang penuh ikhlas.

    "Kalau fikir diri sendiri itu sudah tidak layak memakai darjah Johor, nak pulang boleh pulang. Siapa makan lada dialah yang rasa pedas," titah baginda.
    Titah baginda, darjah kebesaran itu hanya akan dianugerahkan kepada mereka yang layak dan benar-benar berjasa kepada negeri Johor.
    "Nilai pingat saya dah sama macam Datuk, bermakna betul-betul orang yang patut, layak menerima atas jasa dia baru saya bagi.

    "Di Johor ini pun ada kelab-kelab Datuk, ada ejen-ejen Datuk di Johor. Ada satu bangunan saya nampak ada kelab-kelab Datuk, letak lambang dekat nombor pendaftaran kereta lagi. Apa guna lambang itu letak lambang dekat nombor pendaftaran kereta?

    "Di Johor, tak ada orang pandang, sebab orang Johor tahu nilainya darjahnya dengan Datuk johor ini dengan pingat-pingat lain," titah baginda.

    MK

    1 comment:

    1. Agen pahang la paling kaya mcm tu. Pahang senang dpt dato

      ReplyDelete