"Bukan Simbolik Mata Dajjal" Malique


Penyanyi rap dan komposer, Malique, 39, menepis dakwaan netizen yang menterjemahkan gambar mata ketiga tertera pada kulit album kompilasi berjudul TKO: Pejamkan Mata sebagai gambaran Dajjal.

Memetik laporan BH online, jelas Malique, visual tiga mata berkenaan sebenarnya membawa maksud mata hati, iaitu simbolik kepada mesej usah mudah menghukum sesuatu yang dilihat dari segi luaran semata-mata.
"Kulit album yang mempunyai mata tiga ini mempunyai pelbagai tafsiran berbeza. Maksud sebenarnya ialah mata hati.
"Mesej yang ingin saya sampaikan adalah jangan kita menghukum sesuatu hanya pada luaran dan permukaan, pandanglah dengan mata ketiga iaitu mata hati untuk menyelami dasarnya serta memahami isinya," katanya.
Album yang dipasarkan secara dalam talian sejak lima bulan lalu itu mencetuskan kontroversi apabila netizen menyifatkan visual mata ketiga pada sampulnya sebagai gambaran Dajjal.

Lagu Pejamkan Matamu yang turut dimuatkan dalam album terbabit ialah gandingan sulung Malique dengan penyanyi bervokal mantap, Dayang Nurfaizah. Ketika ini, lagu berkenaan kerap diputarkan di corong radio negara ini.

Dalam pada ini Malique turut memaklumkan, album TKO: Pejamkan Mata ialah album bahasa Melayu terakhirnya dan beliau akan muncul dengan album berbahasa Inggeris pula yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

MD

Post a Comment

0 Comments