DAP P.Pinang Naikkan Surcaj Air, Gesaan "Galak Berjimat"


Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menaikkan surcaj pemuliharaan air (SPA) bagi penggunaan domestik sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan penggunaan air secara bijak dalam kalangan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata SPA akan dinaikkan daripada 48 sen kepada RM1 setiap 1,000 liter air untuk penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan sebagai langkah terakhir bagi mengurangkan kadar pembaziran air di Pulau Pinang.

Katanya Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan menghantar surat permohonan menaikkan SPA itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam tempoh terdekat dan surcaj baru tersebut dijangka akan dikenakan kepada pengguna pada penghujung tahun ini.
"Kerajaan negeri menerima banyak kritikan berkenaan tarif air yang sangat rendah sehingga menyebabkan pembaziran air yang teruk.
"Banyak pihak meminta kami menaikkan tarif air dan saya akui, setiap kritikan itu ada logiknya.
"Selama sembilan tahun kerajaan negeri bertahan dengan tarif air paling rendah dan ia agak keberatan untuk menaikkan tarif air namun ia tidak boleh dibiarkan.
"Oleh itu, kita mengambil keputusan agar menaikkan SPA kepada RM1 untuk setiap 1,000 liter air yang digunakan melebihi 35,000 liter air," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Air Sedunia Pulau Pinang 2017, di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa.

Lim berkata kenaikan itu juga merupakan langkah terakhir kerajaan negeri untuk mengelakkan pembaziran air dalam kalangan pengguna domestik di Pulau Pinang.
"Jika usaha ini (menaikkan SPA) tidak berjaya, kami tiada pilihan lain melainkan menaikkan tarif air. Permohonan kenaikkan surcaj ini mungkin akan mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk diluluskan. Mungkin ia akan dilaksanakan pada hujung tahun ini.
"Kerajaan negeri sebolehnya tidak mahu menaikkan tarif air kerana ia akan membebankan rakyat namun kita tidak ada cara lain. Saya harap dengan kenaikkan SPA ini, ia akan memberi kesedaran kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, Jaseni berkata PBAPP membelanjakan RM91 juta sebagai subsidi untul mengekalkan tarif domestik di Pulau Pinang dan jumlah besar itu terpaksa ditanggung PBAPP berikutan 25 peratus daripada 504,400 pengguna domestik di negeri ini menggunakan air yang berlebihan.

Katanya SPA yang akan dinaikkan ini hanya melibatkan pengguna domestik manakala pengguna komersial mereka membayar penggunaan air mengikut harga pasaran.
"Dari data yang diperolehi, masih ramai pengguna yang membazir air. Jadi PBAPP meminta semua penduduk agar mengurangkan 10 peratus penggunaan air di rumah untuk memastikan bekalan mencukupi sehingga 2020. Kita menyasarkan penggunaan air daripada 827 juta liter sehari (JLH) (2016) turun kepada 778 JLH pada tahun ini," katanya.

AstroAwani, Mymassa

Post a Comment

0 Comments