DAP Tidak Akan Menyokong Pindaan Akta 355 | Apa Masalah DAP Jika RUU 355 Diluluskan?


Konsensus Barisan Nasional (BN) yang kerajaan tidak akan membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 sekadar janji kosong buat parti komponennya, kata setiausaha agung DAP.

Lim Guan Eng menyifatkan tindakan BN membenarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul itu di Dewan Rakyat hari ini sebagai wayang dan jelas tidak menghormati parti komponen lain.
“Ini jelas menunjukkan konsensus yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu wayang yang tidak hormat ahli-ahli komponen lain BN.
“Jadi jelas satu sandiwara telah dimainkan ke atas rakyat, di mana sungguhpun mereka cakap tak akan membentangkan RUU ini, tetapi mereka tetap membenarkan ia dibentangkan.
“Dan kita akan lihat kemudian janji-janji yang dibuat oleh BN kepada MCA, MIC, Gerakan ini adalah janji-janji kosong,” 
Pada 29 Mac lalu, Najib mengumumkan BN tidak akan membentangkan RUU 355 di Parlimen selaras dasar dan amalan konsensus gabungan itu.

Oleh itu, katanya, RUU 355 kekal RUU persendirian dan terpulang kepada speaker Dewan Rakyat untuk menentukan mengikut aturan urusan mesyuarat.

RUU itu pertama kali dibentangkan pada Mei 2016, dan pada November lalu, Hadi meminda usul tersebut dengan mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali.

Selain ahli Parlimen PAS, RUU itu menerima sokongan terbuka beberapa pemimpin Umno, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang hadir pada Himpunan RUU 355 anjuran PAS pada 18 Februari lalu.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, DAP akan kekal dengan pendirian tidak menyokong RUU 355.
“Kita sudah menyatakan sebarang RUU yang sentuh Perlembagaan Persekutuan harus dibuat mengikut RUU pindaan persekutuan dengan majoriti dua pertiga.
“Jelas sekali ini tidak ikut Perlembagaan, oleh itu ia tak berperlembagaan dari segi substance dan prosedur tak ikut Perlembagaan, oleh itu ahli Parlimen DAP tidak akan sokong,” 
Hari ini, Hadi ketika membentangkan usul RUU 355 sekali lagi menegaskan rakyat bukan Islam tidak ada kena-mengena dengan undang-undang syariah dan pesalah bukan Islam tidak pernah dalam sejarah 50 tahun pelaksanaan syariah di negara ini dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah.
“Kepada bukan Islam, jangan permain-mainkan agama Islam yang menjadi agama persekutuan,” kata ahli Parlimen Marang itu.

FMT

Post a Comment

0 Comments