Pesta Menuai, Shafie Mohon Sebagai Cuti Umum Malaysia.

Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal mahu kerajaan memberi penghormatan kepada sambutan Pesta Menuai yang disambut oleh kaum KadazanDusun dan Murut di Sabah dengan mengistiharkan 30 dan 31 Mei sebagai cuti umum di seluruh negara.

Katanya, langkah itu perlu untuk membolehkan ribuan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia meraikan Pesta Menuai bersama-sama dengan kaum lain.

“Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking, telahpun membawa gesaan untuk menjadikan Tadau Kaamatan ini sebagai cuti umum seluruh negara beberapa kali di Parlimen ketika beliau masih lagi berada dalam PKR.

“Ketika saya masih berada dalam Umno, aya pun pernah mendengar gesaan beliau ini tetapi cuma beberapa hari yang lalu, barulah saya faham dengan mendalam mengapa Tadau Kaamatan ini perlu diberi penghormatan oleh kerajaan persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Shafie, kaum KadazanDusun dan Murut sebenarnya berperanan amat penting dalam pembentukkan Persekutuan Malaysia melalui pemimpin-pemimpin lalu kaum itu.

"Pemimpin-pemimpin lalu kaum ini jugalah yang telah memastikan bahawa Sabah tidak akan dipergunakan oleh Malaya melalui beberapa siri perundingan serta penggubalan syarat dan terma yang menjadi tunjang kepada Perjanjian Malaysia 1963 yang kita pertahankan sekarang ini.

“Tetapi agak mendukacitakan apabila kita melihat ramai belia-belia KadazanDusun dan Murut kini terpaksa mencari pekerjaan di Semenanjung Malaysia sebagai pekerja kolar biru sedangkan ini bukannya apa yang diimpikan oleh pemimpin-pemimpin lalu mereka ketika bersetuju membawa Sabah membentuk Persekutuan Malaysia.

“Dan saya pasti, sekiranya tokoh-tokoh politik seperti Tun Fuad Stephens, Datuk Peter Mojuntin, GS Sundang dan OKK Sedomon masih ada, sudah tentulah mereka akan merasa sangat sedih apabila melihat keadaan belia-belia KadazanDusun dan Murut yang ada di Semenanjung Malaysia sekarang ini," katanya.

Shafie berpendapat bahawa untuk mengembalikan semula jati diri di kalangan kaum KadazanDusun dan Murut di Malaysia, satu anjakkan paradigma haruslah dilakukan agar mereka merasa bangga sebagai 'pewaris' kepada sumbangan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin lalu mereka ketika proses pembentukkan Persekutuan Malaysia.

"Kita rakyat Sabah biasanya akan merasa amat bangga apabila melihat artis-artis ataupun ahli-ahli sukan dari Sabah mempamerkan persembahan yang amat baik diperingkat nasional.

“Jadi, bayangkan jika martabat Negeri Sabah ini dinaikkan dengan menjadikan Tadau Kaamatan ini sebagai satu sambutan kebudayaan yang penting di Malaysia dengan menjadikannya cuti umum di seluruh negara termasuk di Perlis dan Perak,” katanya.

Shafie juga berkata, selain daripada memberi peluang kepada rakyat Sabah di Semenanjung Malaysia untuk berehat dan menyambutnya, cuti umum itu sudah pastinya akan membolehkan mereka yang bukan dari negeri itu untuk mengetahui secara endalam mengenai kaum-kaum lain.

“Sabah diwakili oleh dua pemimpin politik KadazanDusun di dalam Kabinet Persekutuan iaituDatuk Wilfred Madius Tangau dan Datuk Seri Maximus Ongkili dan seorang dalam Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Joseph Kurup maka saya percaya tidak ada masalah untuk mereka mengutarakan perkara ini kepada Najib Razak," katanya lagi.

MK

Post a Comment

4 Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete