• Politik Terkini

    Monday, May 15, 2017

    Rafizi - Exco Pas Membuktikan Mereka Lebih Bimbang "Kedudukan & Ganjaran"


    Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mendapat manfaat sekiranya PAS terus menyertai barisan exco di Selangor, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
    "Apa exco PAS lakukan dengan kekal dalam kerajaan Selangor hanya membuktikan (mereka lebih bimbang) mengenai kedudukan dan ganjaran, dan bukannya perjuangan dan prinsip mereka," katanya.
    Bercakap dalam sidang media di Subang Jaya hari ini, Rafizi berkata pengundi akan dapat menilai perkara itu dengan lebih jelas.
    "Saya sebenarnya fikir ia adalah baik untuk ke Putrajaya jika exco PAS kekal di Selangor. Sebabnya adalah golongan atas pagar dan pengundi Melayu mengambil masa untuk mengukur dan menilai parti-parti politik," katanya.
    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu memecat ketiga-tiga exco PAS kerana parti Islam itu telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

    Rafizi percaya PAS tidak akan menerima kesan daripada keputusan itu dalam jangka pendek, tetapi kredibiliti mereka akan terhakis perlahan-lahan selagi mereka sebahagian daripada kerajaan Selangor.
    "Setiap hari tiga exco itu kekal dalam kerajaan bermakna PAS kehilangan lebih banyak undi daripada pengundi atas pagar dan pengundi Melayu," katanya.
    Walaupun PAS telah memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP, tiga parti itu masih sebahagian daripada kabinet Selangor.

    Azmin pada Jumaat lalu telah bertemu tiga exco berkenaan tetapi mereka menafikan akan dipecat.

    Berikutan itu, BN Selangor melabel PAS di negeri itu sebagai parti 'tidak bermaruah' dan oportunis kerana masih berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

    Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi kemudian berkata mereka tidak akan meletak jawatan supaya DAP tidak membuat "kerja jahat" di Selangor.

    MK

    No comments:

    Post a Comment