Husam - Siapa Biayai "Lawatan Kerja Sambil Makan Angin YB Pulau Chondong" ?



Kekayaan Hutan Belantara KPK Milik Rakyat Atau Individu?
.
Sebaik Sidang DUN Kelantan tamat pada 12 Julai, YB Dato TMB dan 20 orang lagi, bergegas ke Nanning, Wilayah Guangxi, Cina.
.
Penerbangan mereka se awal jam 8 pagi, 13 Julai, menaiki pesawat AK 6431 dari Kota Bharu dan seterusnya pesawat AirAsia AK 168, berlepas jam 1.10 thari, hari yang sama.
.
Lawatan rasmi satu hari mereka di Nannning berlangsung pada 14 Julai. Satu hari sahaja -  dengan 21 anggota rombongan!
.
PAS Kelantan memang hebat!
.
Pada 15 Julai, mereka menaiki kereta api laju memakan masa 3 jam 20 minit, menuju Guangzhou dan dijadualkan menginap di Hotel Canton, di tengah pusat perdagangan Guangzhou.
.
16 Julai,  adalah jadual lawatan bersiar-siar kerana lawatan rasmi telah tamat dua hari lalu.
.
Mereka bertolak pulang pada 17 Julai, jam 12.35 tengah hari dengan pesawat CZ 3047.
.
Ketika saya membangkitkan isu lawatan ini di DUN pada 13 Julai, YB Adun Pulai Chondong mengiyakan tetapi enggan memberikan senarai anggota rombongan ‘lawatan kerja sambil makan angin’ ini.
.
Terdapat isteri-isteri pembesar ikut serta, mungkin dibayar secara persendirian, agak saya untuk bersangka baik.
.
Isu yang saya hendak ketengahkan bukan itu.
.
Terdapat individu yang menyertai lawatan ini adalah dari Roshaimi Ent. Ini tajuk saya.
.
Lawatan ini, saya kira, adalah lawatan Kompleks Perkayuan Berhad (KPK) berdasarkan anggota rombongan adalah ahli Lembaga Pengarah KPK dan hampir semua staf KPK yang tinggal sejemput sahaja itu.
.
Laporan Audit Dalam SUK ke atas KPK - yang akhirnya diakui wujud oleh MB ketika mencelah perbahasan antara saya dan YB Zul PC 13hb lalu - menyebut bahawa Roshaimi Ent (RE) gagal membayar sejumlah besar bayaran kepada KPK atas Kompartmen 42 yang diberikan oleh KPK kepada mereka.
Kompartmen 42 adalah kawasan hutan dara dengan keluasan 292 ha dan diberikan kepada Roshaimi Ent hanya dengan harga RM 1,800 seekar.

Diluluskan oleh KPK kepada RE pada 1 Disember 2014 dan terus disahkan dipersetujui oleh RE keesokan harinya.
.
Lebih pelik lagi, semua bayaran tribute dan premium telah dibayar sebagai pendahuluan oleh KPK sendiri. Satu tanda murah hati yang menarik. Bayaran balik sejumlah RM 582,572.00 pun belum diterima.
.
Kompartmen ini asalnya dicadangakam dimasukkan dalam senarai yang akan diserahkan kepada Souncern tetapi diberikan kepada Roshaimi. Sudah tentu, tanpa tender terbuka.
.
Bah kan, tanpa ikatan perjanjian.
.
Saya difahamkan, laporan audit SUK menulis seperti berikut:
.
“Pada pandangan audit, KPK telah gagal menguruskan Syarikat Roshaimi Ent iaitu gagal memungut sepenuhnya bayaran yang sepatutnya. Ia menimbulkan kesulitan kerana tiada suatu perjanjian /kontrak termetrai antara syarikat ini dan KPK bagi Kompartmen 42”.
.
Ketika RE mendapat layanan istimewa oleh KPK bagi Kompartmen 42 dan bayaran penuh belum dibuat oleh RE, dua orang pemilik  Roshaimi Ent mengiringi rombongan TMB-KPK ke Cina itu.
.
Kenapa RE ikut serta?
Kenapa diizin ikut serta sebelum hutang dibayar selepas bertahun-tahun?
Apa  projek perhutanan yang baru di bawah KPK yang dirancang dengan mereka?
Jika tidak ada kepentingan dan keperluan, mengapa mereka ikut bersama?
Siapa membiayai lawatan ini?
.
Hakikatnya, sebelum hutang-hutang RE diselesaikan, KPK atau mana-mana pemimpin Kerajaan Kelantan tidak layak untuk berurusan dengan RE bagi projek yang lain di bawah KPK.
.
KPK adalah milik rakyat Kelantan, bukan  milik dua tiga kerat individu. Namun, setakat ini, cara KPK diuruskan adalah menunjukkan seakan KPK hanya milik dua tiga individu yang bermaharaja lela atas kekayaan hutan KPK. Kerana ketiadaan ketelusan dan ketiadaan tekanan politik yang berkesan.
.
Saya telah melaksanakan tugas saya sebagai ADUN yang dipilih oleh rakyat, meski pun pada hari ini mungkin tidak ramai rakyat Kelantan berminat dengan perompakan halus khazanah kekayaan negeri mereka. Tetapi apakan daya, ini adalah amanah Allah untuk hambaNya berbuat mengikut keupayaannya. Menegur apa yang pincang berdasarkan fakta dan bukti-bukti  untuk kemaslahatan awam yang menjadi teras governance dalam agama suci ini.
.
Saya melaksanakan tugas saya. Rakyat Kelantan, satu hari InsyaAllah akan memahami apa yang sedang berlaku kini.
.
YB Dato Husam Musa,
26 Syawwal 1438/20 Julai 2017
Naib Presiden Parti Amanah Negara,
ADUN Salor, Kelantan.

Post a Comment

1 Comments