Rasuah - Perancis Dakwa 2 Pegawai Eksekutif Tertinggi "Penjualan Kapal Selam Kepada Malaysia"


Penyiasat Perancis mendakwa dua bekas eksekutif tertinggi atas tuduhan rasuah dalam siasatan panjang berhubung penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002, kata sumber yang rapat dengan inkuiri itu semalam.
Dua individu itu ialah bekas pengerusi unit DCNI tentera laut Perancis, Philippe Japiot dan Jean-Paul Perrier, bekas ketua eksekutif pertahanan dan syarikat elektronik besar di Perancis.
Kedua-duanya ditemu bual pada Mei, dan didakwa terbabit dalam rasuah, kata sumber.

Japiot turut dikenakan pertuduhan tambahan kerana “salah guna aset sosial” dan Perrier kerana “terlibat dalam penyalahgunaan aset sosial”, kata sumber lain.

Siasatan dimulakan pada 2010 susulan aduan kumpulan Suaram dari Malaysia.

Ia mendakwa pembuat kapal selam Perancis membayar komisen lebih €114 juta (RM570 juta) kepada satu syarikat rahsia yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, bekas kenalan rapat Perdana Menteri Najib Razak.
Najib ialah menteri pertahanan ketika urus niaga pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai AS$1.1 bilion dimeterai.
Dari 2001 hingga 2007, Japiot mengetuai DCNI, cawangan antarabangsa bagi operasi pembinaan kapal tentera laut.

Dua lagi individu sedang disiasat di Perancis dalam kes sama: Dominique Castellan yang juga bekas presiden DCNI dan Bernard Baiocco, bekas presiden Thales International Asia.

Semua empat individu terbabit menafikan sebarang salah laku dan kerajaan Malaysia berkata kontrak berkenaan bebas rasuah.

Perkara itu timbul pada 2006 apabila teman wanita Razak, Altantuya Shaariibuu, warga Mongolia yang dikatakan meminta bayaran kerana bertugas sebagai penterjemah dalam urus niaga itu, ditembak mati dan mayatnya diletupkan.

Mahkamah Malaysia kemudian membebaskan Razak daripada tuduhan bersubahat membunuh. – AFP, 19 Julai, 2017.

MI

Post a Comment

0 Comments