• Politik Terkini

    Wednesday, August 2, 2017

    Azmin Mahu Saman Ketua Polis Negara Jika Gagal Tangkap Jho Low ?

    Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam menyerahkan notis kepada ketua polis negara (KPN) menuntut penangkapan dan ekstradisi ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
    .
    Peguam mewakili Azmin, Latheefa Koya berkata notis tuntutan diserahkan kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya menjalankan tugasnya menangkap Low, yang juga dikenali Jho Low, atas kesalahan di bawah Seksyen 120B, 406 dan 409 Kanun Keseksaan, di samping Akta Pencegahan Pengubahan. Wang Haram, Pencegahan. Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
    .
    “Ini adalah tanggungjawab pihak tuan di bawah Akta Polis 1967 dan Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil tindakan yang diperlukan di sini seperti dinyatakan di atas, termasuk meminta secara rasmi bantuan polis antarabangsa iaitu Interpol,” menurut surat itu.
    .
    Azmin memberikan tempoh 14 hari kepada Khalid sebelum mengambil tindakan saman.
    .
    Surat itu memberikan alamat Jho Low sebagai 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
    .
    Seorang lagi peguam Azmin, N Surendran berkata Khalid sehingga kini masih belum mendapatkan notis merah ke atas Jho Low.
    .
    Jho Low yang berasal dari Pulau Pinang merupakan salah seorang individu yang dikehendaki berhubung penyiasatan berkait 1MDB oleh pasukan khas termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan peguam negara, ketika jawatan itu masih disandang Tan Sri Abdul Gani Patail.
    .
    Siasatan itu bagaimanapun ditamatkan selepas Tan Sri Mohamad Apandi Ali menggantikan Gani pada 2015. Pada awal 2016, Apandi mengumumkan tiada salah laku oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam transaksi melibatkan 1MDB.
    .
    BNM sebelum ini menamakan eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, dan pengurus Deutsche Bank Datuk Yusof Annuar Yaacob sebagai individu yang dikehendaki dalam siasatannya.
    .
    Sebelum ini, pendakwa raya Singapura menyatakan 1MDB ialah “mangsa” Jho Low, yang menurutnya menggunakan wang 1MDB untuk tujuan peribadi.
    .
    Dalam pemfailan mahkamah bulan lalu, pendakwa raya berkata Jho Low menerima sejumlah wang “amat besar”.
    .
    Kira-kira AS$1 bilion (RM4.3 bilion) yang ingin dilaburkan 1MDB dalam usaha sama PetroSaudi International Ltd dilencong ke akaun bank milik Jho Low, katanya.
    .
    “Mangsa utama dalam kes ini ialah 1MDB,” kata pendakwa raya Nathaniel Khng di mahkamah Singapura.
    .
    Jho Low kini hilang dari pandangan umum, tetapi dipercayai menetap di China.
    .
    Nama beliau juga kerap timbul dalam permohonan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) bagi merampas aset mewah yang dikaitkan dengan wang dilarikan daripada 1MDB.
    .
    FMT

    No comments:

    Post a Comment