Bukan Islam Minta Pemimpin Islam PH & PAS Berunding Hadapi Islam BN


Bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menyeru Pakatan Harapan (PH) mengadakan rundingan dengan PAS bagi mengelak pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya akan datang.

Ambiga berkata pemimpin PH perlu sedar hakikat pertembungan satu lawan satu sahaja dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN).
“Saya percaya PAS juga mahukan kuasa dan tidak mahu kehilangan kerusi. Apabila berunding, kita fikirkan perkara terburuk dan jika ini berterusan perkara buruk itu akan berlaku.
“Lebih mudah menang kerusi di semua peringkat DUN dan Parlimen jika pertandingan satu lawan satu dilakukan. Ia memudahkan pilihan pengundi untuk mengundi serta turut menguntungkan PAS,” katanya pada forum “GE14: The Mother of All GEs” malam tadi.
Isu rundingan bersama PAS merupakan titik perselisihan di kalangan anggota PH, dan juga mencetuskan pergolakan dalam PKR.

Majlis Presiden PH sebelum ini memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PAS, dan masing-masing berkata mereka bersedia menghadapi pertandingan 3 penjuru menentang BN.

Ambiga berkata, berdasarkan pilihan raya lalu, hampir kesemua kawasan yang menyaksikan pertandingan 3 penjuru dimenangi BN, sambil memberi contoh pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu.
“Saya tidak lihat pada statistik atau bancian, saya lihat pada sejarah. Bila ada pertandingan 3 penjuru melibatkan parti politik, hampir 100% pembangkang tidak pernah menang.” Ambiga berkata cadangannya hanya setakat di peringkat rundingan kerusi, bukan kerjasama PAS dan PH.
“Saya tidak minta PH bekerjasama dengan PAS selepas menang kerusi kerana apabila turun ke lapangan, pilihan raya akan datang boleh dimenangi melalui peralihan undi bangsa Melayu.
“Situasi itu diperlukan di kawasan pekan dan kampung, peralihan undi itu hanya boleh berlaku jika pertembungan 3 penjuru dapat dielakkan kerana undi bangsa Melayu akan berpecah kepada 3,” katanya.
PAS bukan sebahagian daripada PH yang menggabungkan PKR, DAP, Amanah dan PPBM. Sebelum ini, parti itu berkata mustahil akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, parti serpihan PAS yang ditubuhkan beberapa pemimpin veteran pada 2015.

FMT

Post a Comment

2 Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete