Mufti Mesir - Wanita Dibenarkan Tidak Bertudung Jika Situasi Mendesak


Bekas mufti Mesir, Dr Ali Goma’a berkata wanita dibenarkan membuka tudung di tempat kerja jika mereka “tidak mempunyai pilihan lain”.

Kenyataan menerusi video di Youtube rasminya itu adalah maklum balas kepada soalan yang diajukan oleh seorang wanita yang tinggal di negara bukan Islam.

Dalam suratnya kepada bekas mufti itu, wanita itu berkata dia bekerja di pusat asuhan kanak-kanak dan majikan mewajibkannya membuka tudung di tempat kerja.

Dia juga menjelaskan kebanyakan pekerja di pusat asuhan itu adalah wanita dan kanak-kanak. Tetapi dia mengenakan tudung di luar waktu kerja.

Ali menjelaskan di dalam Al-Quran jelas menyatakan umat Islam mesti mematuhi perintah Allah “sebaik mungkin dengan kemampuannya.”
“Jika seseorang terpaksa melakukan sesuatu kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain, maka mereka tidak berdosa.
“Apa yang penting adalah niat dan mereka tetap berpegang kepada kepercayaan mereka,” katanya dipetik Stepfeed, sebuah portal berbahasa Inggeris yang melaporkan perkembangan di dunia Arab.
Persoalan yang dijawab ulamak itu adalah salah satu keluhan berjuta-juta wanita Islam terutamanya yang tinggal di Eropah.

Tahun lepas, Mahkamah Keadilan Eropah meluluskan undang-undang yang membenarkan majikan mengharamkan pakaian keagamaan di tempat kerja.

Beberapa bulan selepas undang-undang itu diguna pakai, 3 wanita Islam dilaporkan membincangkan bagaimana kehidupan mereka berubah selepas keputusan mahkamah itu.

Mereka menyatakan rasa bersalah kerana terpaksa membuka tudung untuk bekerja dan menjelaskan betapa sukarnya kehidupan mereka kerana terpaksa akur dengan peraturan tersebut.

Walaupun keputusan Mahkamah Keadilan Eropah secara teknikalnya terpakai bagi semua simbol agama termasuk salib bagi Kristian, bindi (Hindu) dan kippah (Yahudi), tetapi kes khusus yang dibawa ke mahkamah sebelum itu menampilkan wanita Islam.

Keputusan itu secara khususnya ditujukan kepada wanita Belgium yang bekerja untuk kumpulan solusi keamanan, G4S.

Wanita itu dilarang memakai tudung sebagai sebahagian daripada dasar syarikat yang melarang semua simbol agama.

Satu lagi kes melibatkan seorang wanita Perancis yang bekerja dalam bidang IT. Dia diminta untuk menanggalkan tudung selepas pelanggan membuat aduan terhadapnya.

FMT

Post a Comment

1 Comments