• Politik Terkini

    Saturday, September 2, 2017

    Rafizi Ramli - TIADA AMARAN ATAU TINDAKAN DARI BIRO POLITIK


    Saya dihubungi berkali-kali oleh rakan-rakan media pada Hari Raya Aidiladha mengenai satu laporan yang disiarkan Sin Chew Daily kononnya saya diberi amaran keras oleh Biro Politik kerana memburukkan nama baik parti dan akan dipecat dari KEADILAN jika terus bersuara. Berita itu ditulis berdasarkan satu sumber dari Biro Politik yang tidak dinamakan.
    .
    Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang keputusan Biro Politik yang begitu. Saya tidak diberi sebarang amaran oleh sesiapa dan tiada sebarang keputusan mengenai tindakan tatatertib dibuat oleh Biro Politik. Sudah tentu berita yang saya boleh dipecat juga direka-reka.
    .
    Semua ini telah disahkan oleh Setiausaha Agung, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail.
    .
    Saya tidak terkejut dengan perkara ini kerana ia pernah berlaku beberapa kali sebelum ini setiap kali ada perbezaan pendapat yang ketara di dalam kepimpinan. Ada beberapa orang pimpinan KEADILAN yang gemar memberikan gambaran yang salah kepada pihak media dengan berselindung di sebalik nama “sumber dalaman parti” untuk memastikan pandangan mereka diambil sebagai pandangan umum, walaupun itu bertentangan dengan perbincangan atau keputusan sebenar Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
    .
    Ini pernah berlaku semasa pelantikan Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, apabila berita-berita yang tidak sahih terus dibekalkan kepada pengamal media yang jelas memusuhi KEADILAN seperti Jocelyn Tan dari The Star. Walaupun mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat dengan secara jelas memutuskan hanya satu calon untuk jawatan Menteri Besar iaitu Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ada sahaja berita-berita dari sumber tidak rasmi kononnya ada keputusan yang berbeza.
    .
    Perkara yang sama berlaku menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak. Sedang Biro Politik berkali-kali memutuskan untuk mempertahankan perjanjian pembahagian kerusi yang telah dipersetujui di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan, ada segelintir ahli Biro Politik yang menghantar mesej yang berlainan kepada pimpinan KEADILAN di Sarawak, yang akhirnya sampai kembali kepada saya sebagai Setiausaha Agung apabila mereka (pimpinan akar umbi) mahu mengesahkan berita itu.
    .
    Selagi 2-3 orang ahli Biro Politik ini tidak berdisiplin dan memberikan maklumat yang salah kepada pihak media dan anggota parti, keadaan akan terus bercelaru.
    .
    Oleh sebab itulah saya mengambil keputusan (sejurus selepas Pilihanraya Negeri Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar) bahawa masa dan tenaga saya lebih dimanfaatkan bergelumang dengan kempen KEADILAN dan Pakatan Harapan di kerusi-kerusi marginal berbanding cuba membetulkan maklumat yang salah yang disebarkan secara berterusan oleh 2-3 orang ahli Biro Politik ini.
    .
    Sebelum ini, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri agar perkara ini tidak sampai ke pihak media tatkala pimpinan-pimpinan yang sama sedang mengusahakan perbincangan dengan PAS. Untuk tidak terus bertembung akibat maklumat yang salah disebarkan, saya mengambil keputusan lebih baik tidak turut serta di dalam mesyuarat Biro Politik untuk mengurangkan kebarangkalian saya terpaksa membetulkan versi keputusan Biro Politik yang kerapnya diberikan tafsiran berbeza.
    .
    Kini, kita sudah terlalu dekat dengan Pilihanraya Umum ke-14 dan sewajarnya kita memberi fokus kepada persediaan PRU14 (bukannya berita-berita dalaman sebegini).
    .
    Saya mengalu-alukan kenyataan Dato’ Seri Azmin Ali untuk patuh kepada keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan dan saya yakin sebagai Pengarah Pilihanraya PH, beliau ada ruang besar untuk menyumbang memperkasakan persediaan PH menghadapi BN, walaupun jika berlaku pertembungan 3 penjuru.
    .
    Saya juga menyeru keseluruhan pimpinan KEADILAN dari yang tertinggi di Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat, sehinggalah kepada pimpinan akar umbi untuk memberi tumpuan kepada persediaan PRU14 dan tidak melayan berita politik yang tidak membantu mengalahkan Umno/BN.
    .
    Saya akan terus turun ke kerusi-kerusi marginal di seluruh negara. Dalam bulan Julai dan Ogos, saya telah berkempen sebanyak 61 kali (ceramah dan acara kempen lain) di 46 kerusi marginal di peringkat Parlimen dan DUN di seluruh negara iaitu sekitar 7 atau 8 kerusi DUN/Parlimen setiap minggu tanpa henti. Jumlah tontonan terkumpul kesemua ceramah-ceramah ini di Facebook dan Youtube telah mencecah 1.1 juta tontonan sepanjang dua bulan ini.
    .
    Saya yakin tanggungjawab berjumpa pengundi di bawah dan menyampaikan maklumat sebegini adalah lebih penting dari melayan berita-berita tidak sah yang direka oleh sumber-sumber yang tidak berani menerbitkan nama mereka sendiri.
    .
    Maka, saya beranggapan perbezaan pendapat mengenai rundingan kerusi dengan PAS telah tamat dengan keputusan Majlis Presiden PH yang dipersetujui oleh Biro Politik KEADILAN dan dihormati oleh Dato’ Seri Azmin Ali sendiri dalam kenyataannya dua hari lalu kepada pihak media.
    .
    Oleh itu, ini masa untuk menjaga kawasan masing-masing dan menumpukan perhatian kepada kempen akar umbi untuk menghadapi PRU14 yang boleh dipanggil bila-bila masa dari sekarang.
    .
    RAFIZI RAMLI
    AHLI PARLIMEN PANDAN
    NAIB PRESIDEN KEADILAN

    No comments:

    Post a Comment