Usaha PPIM Berhasil, BOY IMAN Dicekup Polis !


Polis menahan pelakon Datuk Boy Iman bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah bernilai RM6.2 juta oleh syarikatnya DBI Properties, di Ampang semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis menerima 188 laporan berkaitan penipuan jualan rumah oleh DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.
"Berdasarkan siasatan dijalankan, didapati syarikat ini menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga jauh lebih murah daripada pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

“Bagaimanapun, setelah bayaran dilunaskan, pembinaan rumah tersebut tidak dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis membuat pemeriksaan di pejabat suspek, Wisma DBI di Ampang, dan merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, sebuah kereta BMWE92, tiga telefon bimbit, sijil doktor falsafah daripada Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat itu.
Boy Iman atau nama sebenarnya Nuruliman A Rahman merupakan pengarah urusan DBI Properties dan Ketua Pegawai Eksekutif DBI Technology (DBI).

Dakwaan penipuan melalui penjualan rumah oleh DBI Properties sebelum ini dibangkitkan laman Facebook popular, PW Community.

Isu itu dihangatkan lagi apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) apabila membawa kira-kira 100 yang mendakwa diri mereka sebagai mangsa keadaan untuk bertemu dengan Boy Iman.

Polis juga menahan dua lagi suspek utama, iaitu lelaki berusia 29 dan 45 tahun yang merupakan pemilik Juta Kelulut Global Resources, di Setapak pada hari sama.
“Turut dirampas adalah dua unit telefon bimbit dan pelbagai dokumen Syarikat Juta Kelulut Global Resources. Kesemua suspek direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata Sani.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan skim atau tawaran luar biasa oleh mana-mana individu atau syarikat.

"Sindiket penipuan semakin bijak memanipulasi kehendak dan keperluan masyarakat menerusi pelbagai skim penipuan dan pelaburan. Antaranya skim emas dan perumahan.

"Sebaiknya rujuk dengana agensi atau pihak yang lebih arif berkenaan sesuatu tawaran bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.

MK 

Post a Comment

0 Comments