Derita 400 Wanita Kelantan "Kosmetik Tiruan"


Seramai 400 wanita mengemukakan aduan terkena radang kulit atau dermatitis akibat penggunaan produk kosmetik tiruan.

Aduan diterima Lembaga Pelindung Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) itu ternyata menimbulkan kebimbangan terhadap kegilaan wanita Malaysia pada masa kini.

Penasihat Undang-Undang LPKPM Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, isu menjadi lebih rumit apabila pengguna sendiri menyedari mereka menggunakan produk tiruan dan mengadu apabila terkena kesan buruk akibat tindakan sendiri.

"Bohong kalau mereka mengatakan menjadi mangsa dan tertipu kerana mereka sendiri tahu produk yang dibeli itu adalah produk tiruan.
"Produk yang mengandungi racun boleh menyebabkan dermatitis iaitu radang dan keracunan pada kulit seperti kulit muka terbakar, kemerahan, gatal atau lebih teruk boleh membawa kepada kanser," 
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Pelancaran Jasmine Paradise Beuty Spa di Pasar Melor, di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Jasmine Paradise Beuty Spa, Dr Nurul Ain Razali.

Nik Saiful Adli berkata, pengguna tahu mereka menggunakan produk tiruan dan masih terus membelinya kerana kalah dengan nafsu serta ego sendiri.

"Mereka mahu pakai barangan kosmetik berjenama, namun tidak berkemampuan dan sanggup beli jenama tiruan untuk kepuasan apabila dikatakan memiliki kosmetik mahal.

"Sebenarnya, mereka sudah menipu diri sendiri dan pada masa meletakkan diri dalam bahaya terdedah kesan keracunan daripada bahan terlarang yang terkandung dalam barangan kosmetik tiruan," katanya.

Menurutnya, pembekal dan peniaga di negara ini juga kini tanpa segan silu, malah sangat berani menjual produk-produk kosmetik dan kesihatan tiruan termasuk lambakan kosmetik jenama sendiri hasil daripada pembungkusan semula bahan kosmetik secara timbang.

"Ini hal yang sangat serius dan sedang meningkat menjadi trend dalam masyarakat kita. Jual yang berjenama tiruan dan tawarkan pula kosmetik yang  dibungkus semua melalui pembelian secara pukal.

"Kes sebegini banyak membabitkan negari yang bersempadan dengan negara jiran iaitu, Kedah, Perak dan Kelantan.

"Lebih parah apabila membabitkan pengguna seawal usia 13 tahun yang sedang meningkat remaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan meningkatkan penguatkuasan terhadap kemasukan kosmetik dan barangan kesihatan tiruan, lebih-lebih lagi yang dibeli secara atas talian.

"Kebanyakkan produk ini didapati di negara seperti Thailand, Hong Kong, China dan Korea serta mudah didapati dengan melakukan traksaksi pembelian secara atas talian.

"Bayangkan, produk kosmetik jenama terkenal harga sebetulnya RM100, di atas talian produk tiruan yang menggunakan jenama sama ini dijual kurang RM50 dan penghantaran dilakukan secara terus melalui pos serta sampai kepada pengguna tanpa melalui sebarang pemeriksaan pihak berkuasa," katanya.

Sumber : SH

Post a Comment

0 Comments