Pegawai-pegawai kesihatan Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat kes berpuluh-puluh orang, terutamanya remaja dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan teruk pada paru-paru selepas menghisap vape sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Bagaimanapun, punca sebenar penyakit mereka masih misteri. Jabatan kesihatan di negeri Illinois, Minnesota dan Wisconsin mengeluarkan kenyataan melibatkan kes tersebut dengan menyatakan, pesakit mengalami batuk, sesak nafas, pening dan kepenatan.

Simptom itu memaksa pesakit dirawat di hospital dengan tiub oksigen dimasukkan menerusi mulut bagi membantu mereka bernafas. 

Bagaimanapun, pegawai-pegawai kesihatan itu berkata, masih awal untuk menyatakan sama ada penyakit itu berkait tetapi mereka saling bekerjasama dan berganding tenaga bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk melakukan siasatan lanjut.

Sesetengah pesakit berkenaan didapati menggunakan vape untuk menghisap produk marijuana.

Thomas Haupt yang merupakan ahli epidemiologi penyakit berkaitan pernafasan di Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Wisconsin memberitahu :

Kami dalam proses menemu bual semua pesakit bagi mencari sebarang persamaan. Buat masa ini, menghisap vape merupakan satu-satunya persamaan pada mereka tetapi kami cuba meluaskan siasatan bagi memastikan kami tidak tertinggal fakta lain

Penemuan itu mengelirukan pakar-pakar ekoran kajian saintifik sehingga kini mendapati rokok elektronik (e-rokok) kurang toksik berbanding rokok konvensional.

Penggunaan e-rokok dalam kalangan remaja AS meningkat dengan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kira-kira 3.6 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi menggunakan produk vape pada tahun lalu.