Pandai Pulak Ko Cakap POS Mengeruh Keadaan.. Yang Ko Demk Jawi Tu,Nak Bagi Istilah Apa?

Pos Malaysia Berhad diberi tempoh tiga hari untuk menarik balik kenyataannya di Facebook berhubung kiriman ugutan terhadap pembantu khas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Wong Siew Ki.

Malah, penyedia perkhidmatan mel itu juga perlu memohon maaf secara terbuka terhadap mangsa dan ahli keluarganya kerana perkara yang dikaitkan dalam kenyataan Pos Malaysia itu kini sudah dimanipulasi oleh warganet hingga mengeruhkan keadaan.

Dalam satu sidang media hari ini, Siew Ki melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Pos Malaysia yang telah membuat kenyataan secara melulu apabila menafikan ugutan jenayah diterima pembantunya itu sedangkan polis masih lagi menyiasat perkara tersebut.

Katanya, Pos Malaysia sepatutnya membuat siasatan dalaman berkenaan perkara itu memandangkan ia merupakan satu ugutan melibatkan senjata berbahaya yang tidak boleh dipandang ringan.

“Pihak kami menghormati bahawa kes ini dalam siasatan polis dan kami berasa pihak Pos Malaysia juga perlu peka dengan situasi semasa sebelum mengeluarkan kenyataan yang akhirnya telah dimanipulasi oleh banyak pihak, seakan-akan pihak kami telah membuat laporan palsu.

“Pihak Pos Malaysia sepatutnya meneliti dahulu isu dan keadaan semasa sebelum mengeluarkan kenyataan, lebih-lebih lagi apabila siasatan polis sedang dijalankan,” katanya pada sidang media itu.

Menurut Siew Ki lagi, Pos Malaysia tidak sepatutnya mengeluarkan apa-apa jua kenyataan atau cuba menolak tanggungjawab sebelum mereka sendiri mengambil inisiatif untuk melakukan siasatan secara dalaman.

Meskipun memberi kenyataan balas daripada komen yang diutarakan oleh netizen namun, ia merupakan satu tindakan tidak adil kepada mangsa.

Siew Ki menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pos Malaysia sekiranya pihak terbabit mengabaikan permintaan mereka sehingga tempoh yang diberi Isnin ini.

Sementara itu mangsa Lee Khai Ming pada sidang media sama berkata, beliau turut berasa kesal dengan sikap Pos Malaysia yang telah menjawab pertanyaan netizen di laman sosial itu seolah-olah memberi gambaran bahawa laporan polis yang dibuat olehnya adalah rekaan semata-mata.

Katanya, beliau bimbang jawapan yang diberikan oleh Pos Malaysia itu akan mengundang pula tanggapan pihak lain hingga boleh menimbulkan isu perkauman.

“Saya ada bukti terhadap kiriman yang diterima oleh isteri saya berdasarkan rakaman CCTV di rumah menunjukkan sampul surat berisi keris diterima daripada posmen yang menghantarnya pada hari kejadian.

“Saya sudah serahkan segalanya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan tetapi apa yang dilakukan oleh Pos Malaysia dengan membuat kenyataan balas terhadap komen di Facebook, ia sesuatu yang tidak boleh diterima,” ujarnya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili mangsa Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar menegaskan: “Sepatutnya Pos Malaysia yang memberikan perkhidmatan berhati-hati ketika memberikan kenyataan kepada orang awam. Sebab maklum balas yang diberikan adalah respon daripada pertanyaan orang awam disatu link berita.

“Pos Malaysia ataupun admin group itu perlu menilai keadaan semasa sebelum meberi apa-apa jawapan.

“Kita faham ini satu standard jawapan, tapi dalam masa sama sebelum beri apa-apa jawapan lebih-lebih lagi kes ini dalam siasatan polis mereka perlu berhati-hati dan tidak boleh beri kenyataan mudah sebegitu sebab mereka perlu peka dan boleh baca keadaan semasa,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Pembantu Politik ADUN Balakong menerima ugutan melalui sampul surat yang mengandungi sebilah senjata tajam daripada individu tidak dikenali, disyaki ada kaitan dengan kempen membantah tulisan jawi.

Lelaki berusia 42 tahun itu dilapor menerima sampul berkenaan pada pukul 5.15 petang pada Selasa yang dialamatkan ke rumahnya di Kajang.

Pembantu ADUN itu tidak pasti atau mengenali individu yang menghantar sampul surat itu kerana tidak pernah menerima sebarang ugutan

MalaysiaGazette

Post a Comment

0 Comments