Kelibat Pakar Formula Rafizi Dipersoal Dalam Perhimpnan Agung UMNO 2019

Pergerakan Pemuda UMNO mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya tahu menjarah wang Petronas daripada memikirkan perancangan untuk membela nasib rakyat.

Kata Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, realiti apabila PH berkuasa, mereka gagal menunaikan banyak janji yang ditabur seperti menghapuskan told an menurunkan harga minyak.

Bahkan, tegas beliau, subsidi untuk rakyat juga ditarik balik sehingga hampir tiada lagi, manakala kos sara hidup terus meningkat walaupun PH berjaya memansuhkan GST.

Walaupun GST sudah tiada, tetapi harga barang keperluan tidak turun sebagaimana dijanjikan. Yang terus menjunam jatuh adalah harga sawit dan getah menyebabkan lebih 760,000 pekebun kecil dan peneroka hidup bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, katanya dalam ucapan Dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Katanya, akibat penjarahan wang Petronas sehingga berjumlah RM82 bilion, keuntungannya jatuh 48 peratus pada suku ketiga 2019.

Kejatuhan itu, ujar beliau, berpunca dari kegagalan kerajaan PH mendatangkan alternatif berkesan untuk mendapatkan hasil yang hilang akibat pemansuhan GST.

Menurut Dr. Asyraf, dahulu setiap projek mega Barisan Nasional (BN) seperti TRX, Bandar Malaysia dan ECRL dikatakan kerajaan itu hendak menjual negara, tetapi apabila PH mendapat kuasa, segala aset strategik negara yang lain pula dijualnya.

Dahulu apabila kerajaan BN perkenalkan subsidi bersasar dengan menukarnya dalam bentuk tunai atas nama BR1M, dihinanya rakyat menerima dedak. Hari ini, tanpa sedikitpun rasa malu menjenamakan semula BR1M kepada BaSaH (BSH) dengan jumlah jauh lebih rendah.
Lebih memeningkan, definisi bujang yang layak menerima bantuan di zaman PH hanya terpakai kepada mereka berumur 40 tahun ke atas, atau lebih tepat dipanggil “Bujang Terlajak”.

Beliau menyatakan, yang pasti ekonomi semakin parah dengan hutang negara bertambah, manakala Bursa Saham Malaysia jatuh teruk, nilai ringgit jatuh merudum, indeks keadaan perniagaan makin susut dan pertumbuhan ekonomi terus menguncup.

Semua indikator ekonomi ini, kata beliau, hanya memberikan satu isyarat, iaitu kerajaan PH gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.

“Kenapa berlaku sebegini? Yang jelas, rakyat dapat saksikan hanya kerajaan PH terus sibuk berpolitik, menyalah dan bergelumang dengan perebutan kuasa daripada Perdana Menteri (PM) ketujuh kepada PM tepi,” katanya.

Beliau turut bertanya di mana pakar formula PH yang menjanjikan kehidupan rakyat lebih selesa, iaitu Rafizi Ramli?

Katanya, walaupun PH cuba menyembunyikan dengan pelbagai tipu helah, hakikatnya, perut rakyat semakin kosong, poket rakyat semakin lompong bagai abu di atas tunggul yang menanti angin jatuh berderai.

MalaysiaGazette

Post a Comment

0 Comments